Khamis, 8 Jun 2017

Jadual Baru, Cuti Sekolah Sempena Hari Raya Aidilfitri 2017

Semalam Kementerian Pendidikan telah mengumumkan jadual baru bagi Cuti Sekolah Sempena Hari Raya Aidilfitri 2017. Semua sekolah bagi Kumpulan B akan cuti berganti pada 23 Jun (Jumaat) sempena Aidilfitri.

Cuti Sekolah Sempena Hari Raya Aidilfitri 2017

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, berikutan itu, persekolahan pada hari berkenaan perlu diganti pada 17 Jun (Sabtu) iaitu sebelum bermula cuti persekolahan sempena Aidilfitri

"Cuti berganti ini membabitkan sekolah di negeri Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan," katanya kepada pemberita pada Majlis Buka Puasa Kementerian Pendidikan di Putrajaya, hari ini.

Pada 5 Jun lalu, Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) meminta Kementerian Pendidikan mengkaji semula hari permulaan cuti sekolah sempena sambutan Aidilfitri tahun ini bagi mengelak kesesakan jalan raya dan menjamin keselamatan warga guru dan pelajar.

Presidennya, Datuk Mohd Sabri Mohd Arshad dipetik berkata, mengikut jadual asal yang dikeluarkan pihak kementerian, sekolah di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor akan mula bercuti pada 23 Jun ini (Jumaat) manakala negeri lain bermula pada 24 Jun (Sabtu).

Beliau dilaporkan berkata, kesesakan jalan raya dijangka teruk pada Sabtu kerana orang ramai mula cuti dan mahu pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Aidilfitri yang dijangka pada 25 Jun (Ahad). - BHarian