Susulan prestasi buruk BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melepaskan jawatan sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkuat kuasa serta-merta
Beliau mengumumkan demikian pada sidang berita selepas mesyuarat Biro Politik UMNO di ibu pejabat parti di Menara Dato Onn di sini, hari.
"Mengambil kira keadaan semasa...dan memandangkan UMNO dan BN telah mengalami kekalahan yang amat berat (dalam PRU14), maka saya sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN mengambil keputusan meletakkan (kedua-dua) jawatan itu serta-merta."
"Ini adalah kerana mengikut prinsip, sesiapa yang menjadi ketua sesebuah parti dan parti itu gagal dalam pilihan raya, maka tanggungjawab moral mestilah diterima sepenuhnya oleh orang berkenaan," katanya.
Najib berkata Biro Politik itu juga bersetuju supaya Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO manakala Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, juga Naib Presiden UMNO, menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Pengerusi BN.
Beliau turut memberi jaminan tidak akan meninggalkan parti itu.
PRU14 menyaksikan penguasaan 60 tahun BN di persada pemerintahan negara berakhir apabila hanya menang 79 daripada 222 kerusi Parlimen.
BN turut hilang kuasa di Kedah, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perak dan Sabah.
Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memohon maaf kepada rakyat atas sebarang kekurangan dan kesilapan ketika beliau memimpin negara selama sembilan tahun sejak 2009.
"Saya berdoa selepas tempoh perpecahan ini, negara kita akan kembali bersatu. Saya mohon maaf atas kekurangan dan kesilapan. Saya berterima kasih kepada rakyat Malaysia atas peluang yang diberikan untuk memimpin negara hebat ini.
"Ia adalah penghormatan besar dalam hidup saya untuk berkhidmat kepada anda dan Malaysia," kata bekas perdana menteri itu dalam catatan terbarunya dalam akaun Facebook dan Twitternya.
"Selepas lebih empat dekad terlibat dalam politik dan kempen pilihan raya baru-baru ini, yang malanya bersifat peribadi dan barangkali juga paling sengit dalam sejarah Malaysia, saya akan bercuti pendek bagi meluangkan masa dengan keluarga yang begitu kurang saya layani sejak beberapa tahun kebelakangan ini," katanya.
"Rakan dalam Barisan Nasional dan saya komited untuk menghormati kehendak rakyat dan melancarkan proses peralihan kuasa. Kepentingan terbaik Malaysia dan rakyatnya akan sentiasa menjadi keutamaan dan saya bertekad untuk terus memberi khidmat kepada kedua-duanya atas apa jua kapasiti yang ada," katanya. - BERNAMA