Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) baharu tidak hanya mewarisi kestabilan ekonomi, tetapi juga situasi politik yang agak tidak menentu serta ketidaktentuan global apabila mula bertugas kelak.
Sebagai bekas pegawai kanan BNM yang menyiasat skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus sememangnya tidak asing bagi pemerhati bank pusat di ekonomi Asia Tenggara.
Mereka akan memantau dengan teliti bagaimana beliau membentuk dasar di bawah keadaan yang tidak menentu untuk ekonomi global dan pasaran baharu muncul.
Buat masa ini, ekonomi Asia Tenggara memperlihatkan keadaan ringgit yang stabil, pertumbuhan mampan disokong harga minyak lebih kukuh dan kadar inflasi yang lemah.
Ahli Ekonomi Pasaran Baru Muncul Natixis Asia Ltd di Hong Kong, Trinh Nguyen, berkata tekanan domestik seharusnya membenarkan beberapa kelonggaran dasar untuk BNM di bawah pimpinan Shamsiah, sementara tekanan luar kekal.
"Beliau mewarisi ekonomi yang lebih kukuh berbanding sebelum ini dengan harga minyak yang stabil serta permintaan pengguna mengukuh.
"Kadar sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan memberi lonjakan kepada sektor penggunaan dan juga menurunkan tekanan inflasi.
"Ini memberi ruang untuk menstabilkan BNM, seperti mengekalkan kadar faedah dan membiarkan ringgit menyerap kejutan untuk membantu sektor luaran, sementara pengguna menikmati cukai yang lebih rendah serta tidak merasai kos import yang lebih tinggi," katanya.
Beliau berkata, antara tekanan luaran yang perlu dihadapi Shamsiah adalah konflik Rizab Persekutuan (AS) dan perang dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang semakin memuncak.
"Selain itu, pembaharuan cukai AS membuatkan aktiviti pelaburan di AS lebih menarik, yang mana ia juga akan memberi tekanan bukan sahaja terhadap aliran portfolio, namun juga secara langsung di peringkat global," katanya.
Sementara itu, Ahli Ekonomi DBS Group Holdings Ltd di Singapura, Irvin Seah, berkata BNM dijangka akan mengekalkan kadar monetari yang stabil selepas menaikkan kadar faedah pada Januari lalu.
"Kami jangka kadar faedah semalaman akan kekal. Memandangkan kedua-dua trajektori inflasi dan pertumbuhan masih dalam lingkungan jangkaan BNM, ini membolehkan kadar monetari yang stabil.
"Shamsiah juga mempunyai pengalaman dalam industri ini, jadi dari segi kadar monetari, keadaan dilihat baik. Cabaran utama beliau adalah pengukuhan dolar AS, langkah normalisasi oleh Rizab Persekutuan AS serta tekanan berkaitan mata wang serantau. Isu lain termasuk hutang luaran negara," katanya.
Sementara itu, dalam nota penyelidikan Nomura Singapore Ltd, ia mengekalkan ramalan terhadap kadar polisi sepanjang tahun ini dengan ramalan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatatkan pertumbuhan perlahan iaitu 5.1 peratus pada 2018 daripada 5.9 peratus tahun lalu.
"Inflasi indeks harga pengguna (CPI) juga dijangka menurun kepada 1.3 peratus pada 2018 daripada 3.7 peratus pada 2019," katanya. - Bloomberg