Ahad, 21 April 2019

Berita baik untuk insurans motosikal kecil dari Allianz Malaysia

Berita baik untuk insurans motosikal kecil dari Allianz Malaysia. Pemilik motosikal yang berenjin dengan kapasiti kecil jarang memikirkan tentang insurans.

insurans motosikal Allianz Malaysia

Yang pasti, pakej paling murah akan dicari dan secara realiti, semua harga insuran sebenarnya hampir serupa dan produk yang ditawarkan pun hampir sama.

Allianz Malaysia nampaknya mahu mengubah kesemua itu. Ia kini menawarkan dua pakej insurans untuk motosikal dengan enjin berkapasiti di bawah 245 cc yang memberikan perlindungan kepada penunggang motosikal itu sendiri, dan bukannya jentera sahaja.

Allianz Motorcycle Plus (Komprehensif)

  • Perlindungan insurans menyeluruh untuk pihak pertama dan ketiga ini sama seperti pakej insurans dari syarikat lain.
  • Harga juga lebih kurang sama cuma Allianz memberikan tiga perkara di bawah secara percuma.
    • Perlindungan Kemalangan sebanyak RM5,000 (untuk kematian atau kecacatan kekal).
    • Pendapatan Hospital sebanyak RM50 sehari (untuk 60 hari berada di hospital).
    • Perlindungan Jumlah Diisuranskan Sepenuhnya Bencana Khas (perlindungan banjir, tanah runtuh atau bencana alam yang lain).


Allianz Motorcycle Plus (Pihak Ketiga sahaja)

  • Pakej ini ialah yang paling asas untuk sebuah kenderaan di mana ia hanya memberikan perlindungan untuk Pihak Ketiga sahaja.
  • Untuk motosikal, pakej ini bermula dari sekitar harga RM70 tetapi tidak seperti polisi insurans jenama yang lain, Allianz memberikan dua perkara di bawah secara percuma.
    • Perlindungan Kemalangan sebanyak RM5,000 (untuk kematian atau kecacatan kekal).
    • Pendapatan Hospital sebanyak RM50 sehari (untuk 60 hari berada di hospital).

insurans motosikal Allianz Malaysia

Menurut Zakri Khir (gambar atas), CEO untuk Allianz Malaysia, pakej yang ditawarkan oleh Allianz ini tidak termaktub di dalam tarif insurans yang dikawal oleh Bank Negara kerana ia diberikan percuma dan khusus untuk pengukuhan jenama.

"Kami rasa pengguna motosikal sering dianaktirikan dan Allianz Malaysia mahu mengubah perkara tersebut mengikut kemampuan kami dan dalam bidang kuasa undang-undang," terang beliau.

Careta berpendapat ini ialah kali pertama sebuah syarikat insurans ingin memberikan satu pakej yang benar-benar bermanfaat untuk pasaran motosikal kecil.

Pakej insurans oleh Allianz ini memberikan perlindungan bukan sahaja kepada motosikal, tetapi bantuan kewangan sekiranya berlaku tragedi.

Malah untuk pakej komprehensif, perlindungan percuma untuk malapetaka semulajadi adalah satu contoh terbaik di mana Allian prihatin kepada penunggang motosikal kerana untuk kereta, ia menjadi polisi tambahan yang perlu dibayar.

insurans motosikal Allianz Malaysia

"Pengguna motosikal berenjin di bawah 245 cc ini sering dipandang rendah oleh industri insurans. Kami berpendapat ini sudah patut diubah kerana nyawa mereka dan juga keluarga mereka perlu diberi perhatian sewajarnya," sambung Zakri.

Allianz juga sedang melangsungkan kempen dari 1 Mei hingga 31 Julai, di mana semua pemegang polisi Allianz Motorcycle Plus baharu akan berpeluang memenangi enam buah motosikal SYM SM Sport 100cc.

Para pemenang akan dipilih melalui undian daripada kumpulan pemegang polisi yang layak. Untuk info lebih lanjut, layari allianz.com.my