Perodua Myvi generasi ketiga masuk Singapura dengan harga RM197k. Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) hari ini melancarkan dua varian model Myvi generasi ketiga, 1.3 X AT dan 1.5 H AT, di Singapura pada harga S$64,800 (RM197,093) dan S$69,800 (RM212,301) termasuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan serta Sijil Kelayakan (COE).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad, berkata pelancaran itu mencatat satu lagi pencapaian penting PERODUA walaupun berdepan dengan halangan untuk memasuki pasaran matang itu.
“Ia juga menandakan destinasi eksport pertama bagi model ini di bawah jenama PERODUA,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Zainal berkata, walaupun PERODUA sudah mula mengeksport Myvi generasi ketiga ke Indonesia, namun model tersebut menggunakan jenama Daihatsu dan dinamakan sebagai Sirion.
Beliau berkata, bilangan kenderaan baharu yang didaftarkan di Singapura berbeza dari tahun ke tahun, iaitu sebanyak 80,281 unit (2018); 91,922 (2017); 87,504 (2016) dan 57,589 (2015), berdasarkan statistik Lembaga Pengangkutan Darat (LTA).
Katanya, walaupun angka itu masih rendah, pasaran automotif Singapura adalah antara yang paling dikawal selia di rantau ini.
Majlis pelancaran diadakan pada Sabtu lalu di pusat jualan dan servis Perocom Auto Pte Ltd di Ubi, pengedar sah tunggal PERODUA di Singapura.
Sementara itu, Pengarah Urusan Perocom Auto Pte Ltd, John Ng, berkata model Myvi mendapat sambutan yang sangat baik daripada pembeli Singapura.
Perocom Auto, pengedar sah tunggal PERODUA di Singapura sejak 1997, telah menjual Kancil, Kembara, Kelisa, Myvi generasi pertama, Viva, Axia dan Bezza di negara tersebut.
Di pasaran tempatan, sebanyak lebih 110,000 unit Perodua Myvi generasi ketiga telah terjual.