The House Ezurin Kyra akan disiarkan selama 10 episod di saluran Astro Ria (124) dan Astro
Ria HD (104) bermula pada Rabu ini, 21 Oktober 2020, jam 9 malam.
Ikon fesyen dan sosialit terkenal, Ezurin Khyra sedia menerima komen orang ramai
apabila kehidupan peribadi dipaparkan dalam musim keempat program realiti, The
House.
Ezurin berkata, sebelum ini, kehidupannya hanya boleh dilihat melalui Instagram,
kali ini, penonton dapat mengenali dirinya dengan lebih dekat.
"Melalui Instagram, saya ada kongsi sedikit kehidupan peribadi. Apabila orang
ramai menonton program ini, anda semua boleh tahu dari mana saya berasal.
"Dalam kehidupan, kita perlu seimbang. Saya tidak kata saya dan keluarga
sempurna. Jadi, anda kena tonton dahulu baru anda boleh lihat sisi saya yang
berbeza.
"Saya bukan sekadar sukakan fesyen, sebaliknya, saya juga ibu yang garang,"
katanya.
Ezurin berharap paparannya dalam The House dapat memberi sesuatu yang positif.
"Motif utama saya terbabit dalam program ini adalah untuk menyampaikan sesuatu
yang baik," katanya.
Ezurin atau lebih dikenali sebagai Princess E mengaku mengambil masa hampir
setahun untuk bersetuju agar kehidupan privasi dirinya dan keluarga dipaparkan
di kaca televisyen (TV).
Ezurin menganggap sekarang adalah masa yang sesuai kerana seboleh-bolehnya dia
mahu kelima-lima anaknya terbabit dalam program berkenaan.
"Anak-anak saya belajar di London. Disebabkan pandemik COVID-19, mereka pulang
ke Malaysia. Jadi, saya bersetuju menyertai The House kerana mereka ada di sini.
"Lebih menarik sekiranya saya memaparkan kehidupan bersama anak-anak dan bapa
mereka," katanya yang sering mengembara ke seluruh dunia.
Lima anak Ezurin iaitu Tunku Amaan Khyra, Tunku Nadya Khyra, Tunku Omaan Khyra,
Tunku Imaan Khyra dan Tunku Rmaan Khyra turut menjayakan program berkenaan,
bersama rakan karibnya, Magie Abang Saufi.
Berkongsi perkara menarik mengenai penggambaran program yang dirakam Ogos hingga
September lalu itu, Ezurin berkata, dia bertukar busana paling kurang empat kali
sehari.
"Jujurnya, saya memang membawa selori pakaian untuk penggambaran program ini.
Seperti kita makan beberapa kali dalam sehari, saya gemar menukar baju paling
kurang empat kali sehari.
"Sebab saya suka fesyen, saya rasa tidak lengkap sekiranya saya tidak tukar baju
dalam sehari," katanya.
Bukan saja pakaian, Ezurin juga tampil dengan gaya rambut dan solekan berbeza
dalam setiap babak yang dirakam di sekitar Hulu Langat itu.
Sementara itu, Ezurin menjawab persepsi orang ramai mengenai penampilannya yang
seksi. Ezurin menjelaskan, pemakaian bukanlah gambaran sebenar dirinya.
"Sudah pasti kalau saya pergi ke pantai, saya akan mengenakan pakaian sesuai.
Saya rasa anda kena kenali saya dulu sebelum mengadili.
"Cara saya berpakaian bukanlah memberi gambaran sifat dalaman saya. Apa yang
kita pakai juga tidak menentukan siapa anda sebenarnya," katanya yang pernah
mendirikan rumah tangga dengan kerabat diraja. - BHarian