Datuk Seri Najib Razak, Pengerusi Barisan Nasional sebentar tadi menyerahkan sepenuhnya kepada budi bicara dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V untuk menentukan siapa yang layak untuk menjadi Perdana Menteri ke-7.
Ucapan DS Najib Razak
Katanya, pelantikan perdana menteri adalah prerogatif Agong berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, memandangkan tidak ada parti yang mencapai majoriti mudah Dewan Rakyat, iaitu sebanyak 112 kerusi, pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini.
“Oleh kerana tidak ada sebuah parti pun yang dapat majoriti mudah, maka Agong akan membuat keputusan siapa yang bakal dilantik oleh Tuanku sebagai Perdana Menteri.
“Mengikut perlembagaan, lantikan ini keputusan Agong dan ia berdasarkan kepada prinsip siapa yang mungkin mendapat kepercayaan di kalangan majoriti ahli Dewan Rakyat,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.
Berdasarkan peruntukan di bawah Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan, Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya dalam melaksanakan fungsi- fungsi yang berikut, iaitu pelantikan seorang Perdana Menteri.
Namun Perkara 43(2) jelas menyebut bahawa budi bicara itu juga mempunyai limitasinya, iaitu Agong harus melantik seorang ahli Dewan Rakyat, yang pada hematnya, mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan itu sebagai Perdana Menteri.
Berdasarkan pengumuman rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya awal pagi ini, Pakatan Harapan memenangi majoriti mudah dengan mencapai 113 kerusi Parlimen, diikuti Barisan Nasional (79), Pas (18), Parti Warisan Sabah (8), BEBAS (3), dan Parti Solidariti Tanah Airku (Solidariti) (1).
Secara teknikalnya, Harapan masih belum didaftarkan secara rasmi mengikut peruntukan yang ditetapkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), menyebabkan ia masih belum boleh dianggap sebagai satu pakatan politik.
Mengulas keputusan PRU14 yang menyaksikan satu sejarah baharu terlakar itu, Najib berkata beliau menghormati keputusan itu yang dianggapnya manifestasi kepada amalan dan prinsip demokrasi yang diamalkan di negara ini.
Najib turut menyifatkan beliau berasa bertuah kerana diberi peluang untuk menjadi perdana menteri sejak 2009.
"Saya ingin ambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kpada rakan-rakan dalam BN dan semua pihak, termasuk ahli keluarga mereka, kerana memberi sokongan padu.
"Kita sudah menang di 79 kerusi dan ini satu mandat berat dan amanah rakyat yang perlu dilaksanakan, untuk beri kepercayaan mungkin lebih lagi, pada masa akan datang," katanya. - Sumber Awani