Isnin, 22 April 2019

Sikit Punya Gila lakonan Hamid Gurkha dan Dharma Harun Al-Rashid (1982)

Sikit Punya Gila merupakan sebuah filem berkisah komedi. Diterbitkan oleh Indra Filem Productions & Distributions Sdn Bhd pada tahun 1982.

Filem Sikit Punya Gila

Filem ini telah diarahkan oleh Raja Ismail dan diterbitkan oleh dua orang pemilik syarikat penerbitan tersebut iaitu Zain & Zaharan.

Filem ini seakan-akan kesinambungan kepada filem Setinggan kerana menampilkan tiga orang yang pernah terlibat dalam filem tersebut, iaitu Yusni Jaafar, Ibrahim Pendek dan Tok Bomoh, tetapi kedua-dua jalan ceritanya jauh berbeza dan filem ini tidak menampilkan sebarang elemen seram yang ada dalam filem tersebut.

Para Pelakon

Hamid Gurkha, Dharma Harun Al-Rashid, Nora Shamsuddin, Norlia Ghani, Ibrahim Pendek dan Yusni Jaafar.



Sinopsis Sikit Punya Gila

Cerita ini berkisar tentang kehidupan dua orang (Hamid dan Dharma) yang merantau dari kampung untuk mencari kekayaan di bandar.

Hamid adalah seorang penjual jagung rebus yang menggunakan basikal sorong, manakala Dharma adalah penjaga lif untuk sebuah bangunan yang menempatkan kompleks membeli-belah dan pejabat. Mereka tinggal disebuah rumah sewa kepunyaan pasangan suami isteri, Pak Ibrahim dan Kak Yusni, dan berjiran bersama dengan Nora yang bekerja sebagai Penjaga Kaunter disebuah pejabat dan Norlia yang menjadi Penjaga Tempat Letak Kereta.

Pada permulaannya, Dharma, Hamid, Nora dan Norlia tinggal berjiran dirumah sewa milik Pak Ibrahim. Walaupun perhubungan mereka baik, tetapi Dharma sesekali merasa jengkel dengan Nora dan Norlia yang dilihat sebagai mata duitan. Pak Ibrahim pula yang menjadi penyewa kepada mereka dilihat tidak berkira dengan mereka, walaupun mereka sentiasa berhutang dengan Pak Ibrahim.

Kehidupan Hamid dan Dharma yang dilanda hutang-piutang menyebabkan mereka sentiasa dirundum masalah kewangan, sehinggakan diantara mereka tidak mampu untuk membayar tambang bas. Walaupun mereka bekerja, mereka tidak berhemah dalam membelanjakan wang mereka, dan ada antaranya menghabiskan wang mereka untuk bertaruh dalam pertandingan 'Kuda Longkang' pada hujung minggu.

Hamid pula kurang rajin dalam berniaga jagung rebusnya dan sehingga satu masa dia berhenti menjual, tetapi pendapatannya dilihat sering dikikis oleh Dharma yang suka mencuri harta benda Hamid secara senyap-senyap. Dharma yang menjadi penjaga lif pula kurang berdisiplin dalam pekerjaannya dan sentiasa dimarahi oleh ketuanya.

Hamid dan Dharma yang sentiasa memikirkan untuk menjadi kaya, berusaha dengan pelbagai cara yang haram disisi agama. Salah satunya adalah berjudi Kuda Longkang dan mendapatkan khidmat bomoh untuk mendapatkan empat nombor ekor, yang dihalau keluar oleh bomoh kerana enggan melayan mereka dan menasihati mereka dalam mencari kekayaan.

Walaupun pada pengakhirannya mereka tetap dengan sikap buruk mereka yang suka berjudi dan nombor ekor yang mereka teka secara buah fikiran itu mengena, mereka gagal juga untuk mendapatkan habuannya dek kerana kesilapan Dharma meletak kertas nombor ekor dalam poket seragammnya yang sedang dicuci oleh pemilik kedai dobi.

Cerita ini, walaupun memberi pengajaran, ianya dikatakan komedi kerana mengandungi unsur-unsur lawak jenaka dalam setiap babak cerita tersebut, seperti babak Hamid mandi dipantai dengan berkain pelekat, Kak Yusni yang tercekik batang jagung, watak Pak Ibrahim yang miang dengan Nora dan Norlia, dan banyak lagi. Juga diselitkan babak bercanda di pantai Port Dickson diantara Nora, Norlia, Abang Kus dan Abang Yusof.