Rabu, 11 Julai 2018

Keputusan Qari Jr 2018

Keputusan Qari Jr 2018. Perjalanan adik-adik Qari Jr 2018 yang penuh dengan onak duri akhirnya tamat semalam, apabila Qari Dina & Qari Salimah yang mewakili Sekolah Rendah Islam Integrasi Tahfiz Darul Ulum berjaya menewaskan pesaing mereka lantas menyandang gelaran juara Qari Jr 2018! Kedua-dua si cilik ini telah membuktikan kemampuan masing-masing sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 serta hamper bernilai RM1,000 sumbangan Almas Beauty & Health Sdn. Bhd, pakej umrah untuk 2 orang, komputer riba, baucer tunai bernilai RM1,000 dan juga telekung.

logo qari jr

Secara automatiknya, wakil Yayasan al Huffaz iaitu Qari Adham & Qari Uzair telah dinobatkan sebagai naib juara, dan memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM5,000 sumbangan TV3, hamper bernilai RM500 tajaan Almas Beauty & Health Sdn. Bhd, tablet untuk 2 orang, baucer membeli-belah bernilai RM1,000 dan juga telekung.


Pentas akhir Qari Jr 2018 telah dimulakan dengan persembahan istimewa daripada Mawi dan Daly Filsuf yang membawa lagu berjudul Al Nuraa… Yang 5… Yang 6…. Menariknya episod kali ini, para peserta telah diuji dalam segmen Taranum. Selama 6 minggu, kesemua peserta hanya bertaranum dalam bentuk Taranum Murattal. Namun, pada peringkat akhir ini mereka perlu bertaranum secara Mujawwad, iaitu taranum dalam Musabaqah.


Untuk segmen pertama ini, Qari Dina & Qari Salimah telah membaca Surah Al-Isra, ayat 1-4 & 5-8. Manakala, panel juri pula telah memberi Surah Al-Mukminun, ayat 1-11 & 12-17 kepada Qari Adham & Qari Uzair untuk dibaca dengan taranum yang betul. Secara keseluruhannya, kedua-dua kumpulan ini bijak mengawal pernafasan mereka dan bacaan surah juga amat mengagumkan.


Seterusnya, untuk segmen Qasasul Quran, setiap kumpulan telah menyampaikan kisah-kisah Nabi yang sarat dengan pengajaran. Kumpulan Qari Dina & Qari Salimah telah berkongsi tentang “Kisah Wahyu Pertama” Rasulullah S.A.W, dan kumpulan Qari Adham & Qari Uzair pula telah menyampaikan cerita bertajuk “Kisah Siti Khadijah & Isteri Solehah”. Markah setiap peserta diberi berdasarkan isi jalan cerita dan juga ekspresi penyampaian.


Selesai sudah segmen Qasasul Quran, peringkat akhir Qari Jr 2018 diteruskan dengan segmen hafazan, yang telah dimulakan dengan kumpulan Qari Dina & Qari Salimah. Mereka telah mengalunkan Surah Al-Baqarah, ayat 44-48 & 49-54, dan kumpulan Qari Adham & Qari Uzair pula telah membaca Surah Al-Baqarah, ayat 21-24 & 25-27. Kedua-dua kumpulan mendapat pujian daripada panel juri kerana berjaya mengekalkan momentum yang bagus sejak minggu pertama lagi.

Peringkat akhir Qari Jr 2018 diakhiri dengan segmen IQ Qari, di mana kedua-dua kumpulan ini harus menjawab setiap soalan tentang pengajaran Al-Quran dengan cekap dan tangkas. Kepintaran kumpulan Qari Dina & Qari Salimah terserlah apabila mereka berjaya mendahului Qari Adham & Qari Uzair setelah berjaya mengumpul markah sebanyak 180.

Peserta Qari Jr 2018 dinilai sepenuhnya oleh juri profesional yang diwakili Ustaz Ahmad Shukri Yusoff & Dr. Luqman Ibrahim. Qari Jr. 2018 yang menampilkan Muaz Mohamed sebagai hos musim ini diterajui oleh Russila Ilmi Hj. Zainal sebagai penerbit dan ditaja oleh Almas Beauty & Health Sdn. Bhd. Untuk maklumat lanjut, ikuti laman sosial Facebook, Twitter, YouTube, dan Instagram TV3 iaitu @tv3malaysia. Siaran ulangan Qari Jr 2018 juga boleh disaksikan di portal video nombor satu Malaysia iaitu tonton di www.tonton.com.my.