Jumaat, 12 April 2019

Van sekolah terbakar, pemandu dan 10 murid selamat

Van sekolah terbakar, pemandu dan 10 murid selamat. Kecekapan pemandu van lelaki berusia 49 tahun memberhentikan kenderaan di tepi jalan dan membantu 10 murid Sekolah Kebangsaan Tun Dr Syed Nasir, FELDA Pasak, Kota Tinggi keluar dari kenderaan itu menyelamatkan nyawa mereka.

Van sekolah terbakar, pemandu dan 10 murid selamat

Dalam kejadian itu van terbabit terbakar di Simpang FELDA Pasak, Jalan Desaru-Kota Tinggi hari ini.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Jaafar Mahmood berkata, dalam kejadian 1 tengah hari itu semua pelajar sekolah dan pemandu sempat menyelamatkan diri.

Katanya, sebaik menerima panggilan kecemasan 1.25 tengah hari sebuah jentera bersama tujuh anggota dikejarkan ke lokasi.

“Apabila tiba, kami dapati van jenis Toyota Lite Ace terbakar hampir 90 peratus dan cuba mengawal kebakaran dari merebak ke pondok menunggu bas.

“Pemeriksaan awal mendapati, kebakaran bermula di bahagian enjin kenderaan ketika van itu dalam perjalanan pulang dari sekolah.

“Bagaimanapun, apabila mendapati keadaan tidak selamat pemandu itu terus memberhentikan van dan mengeluarkan semua mangsa berusia tujuh hingga sembilan tahun,” katanya.

Menurutnya, semua mangsa selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jaafar berkata, punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2 petang.