Tahniah Yaashwin tempat kedua Asia's Got Talent musim 3 (AGT3). Peserta dari Malaysia Yaashwin Sarawanan melakar sejarah apabila berjaya menduduki tempat kedua Asia’s Got Talent musim ketiga (AGT3).
Yaashwin, 15, yang popular dengan gelaran ‘Manusia Kalkulator’ tumpas kepada peserta dari Taiwan iaitu Eric Chien yang mahir dengan silap mata.
Kemenangan itu diumumkan secara langsung pada pukul 10.30 di Marina Bay Sand, Singapura, malam Khamis.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tun Hussein One 2 itu merupakan antara sembilan finalis yang merebut hadiah utama program realiti pencarian bakat.
“Saya tidak menjangkakan sejauh ini. Saya gembira melihat penonton terhibur dengan apa yang saya buat,” ujarnya pada program berkenaan.
Sementara itu, kumpulan Nama yang turut mewakili Malaysia gagal mara ke peringkat seterusnya apabila diumum tersingkir pada awal rancangan.
Nama dianggotai oleh Nur Farina Ani, 28, Noor Syamimi Makhetar, 24, Norfazira Malik, 24, dan Nur Farahida Dolhadi, 24, menduduki tempat tiga dari bawah.
Juara ditentukan 100 peratus menerusi undian penonton di laman web www.AXN-Asia.com/AGTVote selama seminggu.
Eric membawa pulang wang tunai berjumlah RM408,000 serta penerbangan percuma selama setahun tajaan syarikat penerbangan VietJet. - MStar