Isnin, 8 April 2019

(Update) Pelawak terkenal dibebaskan dengan jaminan polis

Berita terbaru pelawak terkenal yang dikatakan membelasah dan menendang seorang pengawal keselamatan dalam kejadian pertengkaran di Taman Acacia, Nilai dekat Seremban, malam kelmarin, dibebaskan dengan jaminan polis.

pelawak terkenal dibebaskan dengan jamiman polis

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, arahan itu dikeluarkan mahkamah selepas polis membuat permohonan untuk mendapatkan perintah reman pagi ini.

“Kita (polis) bawa lelaki itu ke mahkamah untuk memohon perintah reman, namun mahkamah memerintahkan untuk dia dibebaskan dengan jamin.

“Bagaimanapun, kita masih meneruskan siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pelawak terbabit yang memakai kemeja biru dibawa dengan trak polis ke Kompleks Mahkamah Seremban pada 8.30 pagi dan dibawa masuk ke Mahkamah Khas Reman untuk mendapatkan permohonan reman.

Sebelum itu, dia ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai ketika hadir untuk memberi keterangan jam 5 petang semalam.

Mohd Nor Marzukee berkata, dalam kejadian jam 8 malam kelmarin, artis itu yang memandu Proton Perdana memasuki kawasan perumahan tanpa kebenaran, selepas mengekori kenderaan seorang penduduk di kawasan perumahan berkenaan.

“Selepas itu pengawal keselamatan menutup palang pos keselamatan dan mengejar kereta lelaki terbabit. Selang beberapa minit dia ingin keluar tetapi tidak boleh kerana palang ditutup.

“Lelaki itu turun dari kenderaan sebaik sahaja mangsa sampai lalu berlaku pertengkaran dan dia menumbuk muka mangsa sebanyak tiga kali selain menendang pinggang serta membaling batu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan 427 Kanun Keseksaan.

Harian Metro hari ini melaporkan, Yahya Manap, 70, yang juga pengawal keselamatan di taman perumahan itu bersedia memaafkan artis lelaki terbabit tetapi meminta diberi masa sehingga kesihatannya bertambah baik.

Akibat dibelasah dan ditendang artis itu, Yahya mengalami cedera pada hidung, bengkak di muka dan sakit di bahagian pinggang serta lutut.

Berita sebelum ini

Video artis pelawak menumbuk pengawal keselamatan warga emas. “Kalau dia nak minta maaf, tunggulah saya sihat dulu. Saya tidak berdendam cuma sedih dengan perbuatannya itu,” kata Yahya Manap yang cedera apabila ditumbuk, ditendang dan dibaling batu oleh pelawak terkenal dalam kejadian di Taman Acacia, di sini, malam kelmarin.

Video artis pelawak terkenal menumbuk pengawal keselamatan warga emas

Yahya, 70, yang juga pengawal keselamatan di taman perumahan berkenaan menyifatkan perbuatan artis lelaki berusia 49 tahun itu sebagai ‘hadiah’ menyambut ulang tahun kelahirannya, semalam.

Akibat ditumbuk dan ditendang lelaki terbabit, Yahya cedera pada hidung, bengkak di muka dan sakit di bahagian pinggang serta lutut.

Menceritakan kejadian, Yahya berkata, ketika bertugas dia menyedari kereta Proton Perdana dipandu lelaki terbabit mengekori rapat kereta seorang penduduk dan memasuki kawasan perumahan tanpa kebenaran.

“Saya pelik dengan tindakan lelaki itu lalu menunggang motosikal mengekorinya bertujuan memintanya membuat pendaftaran terlebih dulu. Namun, sebaik tiba di depan sebuah rumah, saya lihat dia sedang bertengkar dengan penghuni itu dan beredar.

Video CCTV


Video temuramah Pak Yaya dengan wartawan Berita Harian
https://www.youtube.com/watch?v=KMsZm39Xf4g

“Saya mengekori semula keretanya dan dia berhenti di depan palang yang bertutup. Dia memarahi supaya membuka palang itu dan menendang motosikal saya.

“Saya cuba memberi penjelasan, tetapi dia menumbuk muka saya tiga kali dan menendang pinggang. Dia kemudian ambil batu membalingnya ke arah saya namun saya sempat mengelak dan mengenai kerusi,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Yahya berkata, bimbang keadaan bertambah tegang dia membuka palang keselamatan dan pelawak itu mengugutnya sebelum beredar.

Berikutan itu, dia membuat laporan di Balai Polis Nilai pagi semalam dan mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS).


Yahya berkata, dia tidak kenal siapa yang ‘menyerangnya’ itu namun penduduk memaklumkan lelaki terbabit adalah pelawak popular sekitar 1990-an.


“Siapa pun, dia tidak sepatutnya cederakan orang lebih berusia seperti saya.

“Saya ada keluarga. Isteri dan anak juga kecewa serta sedih lihat keadaan saya begini. Kalau dia nak minta maaf datang jumpa mereka,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Acacia, Noor Hisham Yaacob, berharap polis menjalankan siasatan telus dan mengambil tindakan sewajarnya.

Katanya, artis sepatutnya menunjukkan sikap yang baik, tetapi sebaliknya berlaku apabila tergamak membelasah dan menendang pengawal keselamatan yang menjalankan tugas.

Katanya, secara peribadi dia mengenali Yahya yang mesra dipanggil Pak Ya sebagai seorang yang baik hati dan peramah dengan penduduk. - HMetro