Sabtu, 21 Mac 2020

Di dalam perut buaya itu ditemukan kaki kiri, kedua-dua belah tangan

“Di dalam perut buaya itu ditemukan kaki kiri, kedua-dua belah tangan dan beberapa organ dalaman mangsa.

Beberapa bahagian badan manusia dipercayai lelaki warga emas hilang di Sungai Mekam, Sarikei di Sarawak pada Khamis lalu ditemukan dalam perut buaya yang dibunuh hari ini.

Reptilia ganas sepanjang 4.5 meter itu ditangkap sebelum dibunuh penduduk dalam operasi menjejakinya kira-kira jam 8.50 malam tadi.

Ketua Balai dan Penyelamat Sarikei, Mahmudin Narudin berkata, haiwan itu kemudiannya dibawa ke darat sebelum penduduk membelah perutnya dan menjumpai beberapa organ dalaman manusia.



“Berikutan penemuan itu, operasi SAR yang turut disertai polis dan penduduk kampung ditamatkan,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, kira-kira 11.40 pagi pasukan SAR turut menemukan kaki kanan mangsa di tebing Sungai Mekam pada jarak satu kilometer dari lubuk buaya dan tiga kilometer dari Pusat Kawalan Operasi Bomba (PKOB).

Terdahulu pada hari sama jantung mangsa ditemukan timbul di permukaan air pada 11.29 pagi.

Susulan itu, operasi SAR terus dipergiatkan dengan menyusuri Sungai Mekam dalam radius tiga kilometer dari lokasi PKOB sehingga ke lokasi kejadian.

Dalam kejadian Khamis lalu, Lingai Rabong,78, dilaporkan hilang selepas keluar mencari umbut nipah.

Bagaimanapun hanya barang miliknya ditemui penduduk di tebing sungai itu sebelum ternampak mangsa diheret ke tengah sungai oleh seekor buaya.

Laporan kehilangannya dibuat di Balai Polis Jakar sebelum Ops SAR dilancarkan. - HMetro