Selasa, 9 April 2019

(Update) Kenapa Menteri Besar Johor letak jawatan

Kenapa Menteri Besar Johor letak jawatan. Datuk Osman Sapian sudah meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Johor semalam, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kenapa Menteri Besar Johor letak jawatan

Update

Datuk Osman Sapian akan menjelaskan tindakannya meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Johor Sabtu ini.

Beliau berkata, penjelasan itu akan dibuat selepas beliau menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Bagaimanapun, Osman tidak menerangkan lebih lanjut bagaimana penjelasan itu dilakukan sama ada menerusi sidang media atau kenyataan akhbar.

“Insya-Allah, 13 April ini nanti (buat penjelasan) selepas menghadap DYMM (Sultan Johor),” katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada Bernama.

Beliau diminta menjelaskan adakah keputusan untuk meletak jawatan itu dibuat demi menjaga imej kerajaan Pakatan Harapan (PH) Johor sedia ada atau sebaliknya.

Sebelum ini, terdapat ura-ura mengatakan tempat Osman akan digantikan dengan orang baru berikutan terpalit pelbagai kontroversi ketika mentadbir kerajaan negeri.

Bagaimanapun, hanya semalam khabar angin itu disahkan selepas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan peletakan jawatan Osman bermula Isnin.

Osman, 67, adalah Menteri Besar Johor ke-16 dan dipercayai Menteri Besar Johor paling singkat berkhidmat tidak sampai 11 bulan selepas mengangkat sumpah 12 Mei tahun lalu selepas kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Info Sebelum

Perdana Menteri berkata, Osman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas menyerahkan dua surat peletakan jawatan itu kepadanya dalam pertemuan semalam di Putrajaya dengan satu daripadanya kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Buat sementara waktu, Johor tiada menteri besar, mungkin akan dilantik pemangku,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Desas-desus mengenai peletakan jawatan Osman itu bertiup kencang sejak beberapa hari lalu dan memuncak apabila Pengerusi Pakatan Harapan (PH) merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor itu bertemu Dr Mahathir di Putrajaya, semalam.

Difahamkan pertemuan berkenaan berlangsung selama kira-kira 30 minit mulai jam 5.45 petang.

Bagaimanapun, setiausaha akhbar Osman iaitu Abdul Hakim Abdul Rahman menyangkal khabar angin itu dan mengatakan ‘bosnya’ menghadiri perbincangan sebagai persediaan pemukiman pemimpin Singapura dan Malaysia.

Namun ketiadaan Osman pada sesi pemukiman hari ini menguatkan lagi spekulasi bahawa beliau akan berundur sebagai Menteri Besar Johor.

Sebaliknya, Exco Johor yang bertanggungjawab ke atas kesihatan dan alam sekitar, Dr Md Sahruddin Jamal menghadiri pemukiman di Putrajaya itu.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH berkata, menteri besar baharu akan diumumkan dalam masa terdekat dengan mempertimbangkan tiga hingga empat calon.

Berkaitan alasan diberikan Osman berhubung peletakan jawatannya, Perdana Menteri belum mahu mendedahkannya.

“Ada alasan yang diberikan, kami akan beritahu kemudian. Dia mahu meletakkan jawatan dan kami menerimanya,” katanya.

Berkaitan Sultan Johor, ditanya sama ada Osman ada menghadap Sultan Ibrahim semalam, Dr Mahathir secara berseloroh berkata: “Dia (Osman) menghadap ‘DYMM’ Mahathir Mohamad dengan dua surat. Satu surat kepada saya untuk menyatakan peletakan jawatannya, dan satu lagi surat ialah untuk Sultan Johor dan saya berhak membacanya,” katanya. - HMetro