Selasa, 9 April 2019

Pengalaman Maisarah 19 hari sesat dalam hutan

Pengalaman Maisarah 19 hari sesat dalam hutan. “Hanya coklat choki-choki dan air sungai dijadikan alas perut sepanjang tempoh 19 hari saya tersesat di dalam hutan,” ujar Maisarah Sameaun, 32, yang berkongsi pengalaman ketika mengikuti ekspedisi ke puncak Gunung Tahan, Pahang, pada Februari 2008.

Maisarah pernah sesat 19 jam dalam hutam

Bekas penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arau, Perlis, itu berkata, tinggal berseorangan hampir 19 hari di dalam hutan bukan mudah, apatah lagi dia terputus bekalan makanan menyebabkan dia terpaksa bergantung kepada sungai untuk mendapatkan air.

Katanya, hanya bayangan wajah insan tersayang menguatkan semangat untuk terus hidup selain bergantung kepada sumber makanan difikirkan selamat.

Mengimbau kisah lampau dilaluinya itu, Maisarah atau lebih mesra dengan panggilan Umai berkata, dia terpisah daripada kelompok rakan pendaki lain disebabkan terlalu asyik melihat pokok bonsai berhampiran kawasan perkhemahan mereka.

“Kejadian itu berlaku ketika kami bersiap sedia untuk pulang dan menuruni gunung selepas berjaya menawan puncaknya.

Video

Pengalaman 19 hari sesat dalam hutan. “Ketika rakan lain sibuk berkemas dan bersarapan, saya bagai dipukau dan terlalu asyik melihat pokok bonsai hingga tersasar jauh dari tempat asal,” katanya ketika dihubungi wartawan.

Menurutnya, keindahan alam ketika mendaki gunung berkenaan menyebabkan dia nekad berjalan seorang diri di kawasan yang disangkakan tidak jauh daripada rakan lain.

Katanya, dia yang sepatutnya berpatah balik ke lokasi asal panik apabila mendapati berada jauh ke dalam hutan.

“Saya tiada pilihan lain kecuali mencari jalan keluar dengan sasaran utama mencari anak sungai. Bagaimanapun, perjalanan saya semakin tersasar dan bertambah mencabar pada hari kedua apabila beg sandang mengandungi bekalan makanan terputus dan hilang.

“Ketika itu, saya tergelincir di kawasan curam dan kehilangan bekalan makanan menyebabkan saya tiada pilihan lain kecuali bergantung kepada bungkusan coklat choki-choki.

“Saya sedar perlu bertahan dengan makan lima batang coklat yang disimpan dalam poket, namun ia hanya bertahan selama tiga hari saja. Coklat itu dimakan sedikit demi sedikit dan hanya ketika perlu bertujuan untuk mendapatkan tenaga,” katanya.

Katanya, pada masa sama dia hanya bergantung kepada bekalan air sungai untuk meneruskan hidup sepanjang tersesat di gunung berkenaan.

“Saya cuba menjamah cendawan liar yang terdapat pada pokok hutan berkenaan, bagaimanapun disebabkan tiada pengalaman saya tidak berani mencubanya walaupun ketika itu terlalu lapar.

“Sukar untuk saya gambarkan perasaan ketika berada seorang diri di dalam hutan, takut, panik, menyesal dan keinginan untuk bersama keluarga membuak-buak ketika itu.

“Bayangan bersama keluarga dan rakan menguatkan saya untuk meneruskan hidup dan nekad untuk pulang ke pangkuan keluarga. Saya tidak putus berdoa supaya dilindungi daripada semua jenis gangguan termasuk haiwan liar dan diselamatkan secepat mungkin,” katanya.

Menurutnya, dia bersyukur kerana menemui anak sungai pada hari ke-11 namun tidak menyangka sekali lagi diduga apabila terjatuh ke dalam kolam dan hampir lemas.

“Saya cuba mengimbangi badan dan bertenang sebelum berpaut pada tebing sungai. Saya tidak jumpa apa-apa, hinggalah terdetik di fikiran kalau bertemu orang bunian, saya mahu melihat mereka (selamatkan) saya,” katanya.

Menurutnya, sepanjang 19 hari sesat, dia banyak berjalan dan perjalanannya semakin mencabar apabila cermin matanya hilang.

“Alhamdulillah, berkat doa berterusan, saya berjaya menemui laluan keluar dan tiba ke sebuah tapak khemah pada hari ke-18.

“Keesokannya barulah saya menemui dua pemandu arah sebelum diselamatkan dan dapat kembali bertemu keluarga,” katanya.

Menurutnya, pengalaman itu tidak pernah luput dalam ingatannya dan netizen pula kerap mengulangi berita itu di laman sosial setiap kali kejadian sama berlaku ke atas orang lain.

“Tipu jika saya katakan tidak terkesan dengan kehilangan Mohammad Asyraf Hassan, 29, atau Acap yang dilaporkan hilang sejak 23 Mac lalu ketika menyertai Gopeng Ultra Trail.

“Berdasarkan pengalaman lalu, hanya dua kemungkinan berlaku, hidup ataupun mati dan kehilangan dalam tempoh panjang itu mungkin disembunyikan makhluk halus atau tersesat di dalam hutan.

“Apapun, saya berdoa supaya Acap selamat dan berharap keluarganya sabar serta jangan berputus asa, insya-Allah,” katanya. - HMetro