Video muzik lagu baru Zulin Aziz & Iqa Nasra - Jadikan Aku Yang Halal. Pelakon dan penyanyi Zulin Aziz berharap pemilihan lokasi Kota Madinah dan Makkah dalam muzik video lagu terbarunya Jadikan Aku Yang Halal tidak dijadikan isu.
Zulin, 29, atau nama sebenarnya Farah Azleenda Abdul Aziz berkata, penggambaran muzik video itu dibuat selepas selesai mengerjakan rukun umrah.
“Saya ke sana beribadat sambil buat kerja. Apa yang dibuat tidak mengganggu ibadat pun. Lagi pula, jadual sudah disusun dan ada waktu yang lapang. Jadi, saya ambil kesempatan ini.
“Bukannya saya mengutamakan kerja semata-mata. Apa yang penting, ibadat umrah diselesaikan dulu.
“Ketika jemaah lain berziarah ke Taif, saya dan pasukan ke padang pasir untuk menjalani penggambaran. Kiranya, ia sama sekali tidak mengganggu ibadat umrah saya,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, lagu dan muzik video terbaru edaran syarikat rakaman Seventeen Eleven Music itu bukan gimik yang sengaja dibuat.
“Muzik video ini terbukti ia bukan gimik. Lagu dan muzik video ini ibaratnya kesinambungan daripada single terdahulu, Dan Ketika Itu sebab liriknya yang berunsurkan doa.
“Disebabkan lagu ini ramai suka, jadi saya terfikir kenapa tidak menghasilkan lagi lagu yang berkonsepkan sama. Sambil dengar lagu, dalam masa sama kita jadikan ia doa buat diri sendiri.
“Insya-Allah, saya juga akan menyanyikan lagu ini dalam persembahan. Sebab ia tidak ada kaitan dengan kisah hidup saya pun,” katanya.
Lagu ciptaan sepenuhnya Zulin itu turut dinyanyikan Iqa Nasra (Ika Mentor) dan menampilkan pelakon Aeril Zafrel sebagai model dalam muzik video.
Muzik video itu sudah melebihi 150,000 tontonan sejak dilancarkan di saluran Youtube Seventeen Eleven Muzik, semalam.