Isnin, 23 Disember 2019

Naqiu dan Hady Mirza Juara Bersama GV2019

Melakar sejarah baharu dalam siri Gegar Vaganza, Naqiu Boboy dan Hady Mirza telah dinobatkan sebagai juara rancangan realiti hiburan popular Gegar Vaganza 2019 (GV2019) sebentar tadi.

Pertarungan pentas akhir sebentar tadi menyaksikan kedua-duanya menewaskan empat bintang lain dengan mudah dalam dua pusingan solo dan battle.


Naqiu dan Hady Mirza membawa pulang wang kemenangan RM100,000 beserta pakej percutian ke Eropah Timur dan Timur Tengah, pakej ubah suai ruang tamu dan ruang dapur, penginapan di Hotel Tenera Bangi serta trofi.


Video Konsert Akhir Gegar Vaganza 2019

Manakala tempat ketiga dimenangi oleh Jatt Ali yang membawa pulang wang tunai RM30,000, pakej percutian ke Shanghai dan Disneyland, pakej ubah suai ruang makan, penginapan di Hotel Tenera Bangi dan trofi.

Sementara Nurfatima dan One Nation Emcees terpaksa berpuas hati dengan kedudukan tempat keempat dan kelima. Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, pakej percutian ke Chiang Mai, Thailand dan RM15,000, pakej percutian ke Ho Chi Minh, Vietnam dan trofi.

Tidak pulang dengan tangan kosong, Sham Visa akur di kedudukan terakhir dengan wang saguhati RM10,000, pakej percutian ke Jakarta, Indonesia dan trofi.

Pentas akhir GV2019 diadili juri tetap, Datuk Ramli MS dan Hetty Koes Endang serta juri jemputan, Datuk Rizalman Ibrahim.

Program realiti nyanyian dihoskan Nabil Ahmad dan Jihan Muse itu disiarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

GV pernah menobatkan Ayai Ilusi, Siti Nordiana, Azharina, Aishah dan Noryn Aziz sebagai juara musim terdahulu.

GV2019 bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).

Dapatkan perkembangan terkini tentang GV2019 hanya di laman sosial rasmi Instagram @gegarvaganzaofficial atau Facebook Astro Gempak atau di laman web www.gempak.com/gegarvaganza.

Sumber: Astro Gempak