Objektif Skim Mikro Kredit Wilayah Persekutuan (SMKWP)
- Membantu usahawan kecil sedia ada daripada kumpulan B40 mengembangkan perniagaan
- Meningkatkan taraf ekonomi mereka
- Menyediakan saluran alternatif pengagihan peruntukan kewangan menerusi konsep pinjaman perniagaan mikro kepada warga Wilayah Persekutuan yang berpendapatan rendah
- Terbuka kepada semua usahawan kecil daripada kumpulan B40 sedia ada iaitu pemegang lesen penjaja Dewawn Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan (PL)
Proses Permohonan SMKWP
- Permohonan diterima
- Proses dokumentasi
- Senarai pendek (tapisan pertama)
- Temuduga dan lawatan tapak
- Senarai pendek (tapisan terakhir)
- Sokongan kelulusan permohonan
- Pengeluaran oleh pihak bank
- Pemantauan dan kursus
Maklumat Pembiayaan
- Minimum RM1,000
- Maksimum RM5,000
- Tempoh bayaran balik 3 tahun
- Caj pengurusan 2%
- Simpanan 3%
- Kaedah penyelesaian hutang: Selepas bayar dan ambil simpanan secara tunai, baki hutang diselesaikan dengan wang simpanan
- Perlindungan Insuran: Tiada
- Peruntukan: RM500,000
- Jumlah Permohonan: 100 peminjam
Syarat Permohonan SMKWP
- Warganegara Malaysia
- Bekerja dan menetap di Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya atau Labuan) lebih dari 10 tahun
- Berumur 18 - 70 tahun
- Menyediakan seorang penjamin (jika perlu)
- Memiliki pendaftaran perniagaan yang sah dan berdaftar dengan SSM
- Memiliki lesen perniagaan tetap/sementara yang sah daripada DBKL/PPj/PL
- Memiliki premis/ruang perniagaan yang mempunyai permit dari PBT (jika berkaitan)
Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan menawarkan Skim Mikro Kredit Wilayah Persekutuan (SMKWP) bermula 1 Mac ini, bagi membantu usahawan kecil daripada golongan berpendapatan rendah (B40) untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka.
Menteri, Khalid Abd Samad, berkata permohonan untuk skim itu akan dibuka esok dengan tawaran pinjaman bermula RM1,000 sehingga RM5,000 setiap seorang, dengan tempoh bayaran balik sehingga tiga tahun.
“SMKWP terbuka kepada semua usahawan kecil iaitu pemegang lesen penjaja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan (PL).
“Kami tidak mahu terlalu gopoh untuk memberikan jumlah banyak, jadi buat permulaan sejumlah RM500,000 diperuntukkan untuk SMKWP dengan sasaran seramai 100 pemohon,” katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.
Peminjam boleh membuat bayaran balik secara mingguan dengan minimum RM20 hingga RM100 bersama caj pengurusan sebanyak dua peratus, dan wajib membuat bayaran tambahan tiga peratus yang akan direkodkan sebagai simpanan.
Khalid berkata, KWP bekerjasama dengan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan Bank Islam Malaysia Bhd bagi menawarkan skim itu untuk memudahkan peniaga menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.
“Kami tidak mendapat apa-apa keuntungan, sebaliknya kami turut membantu peminjam membuat simpanan sementara mereka membuat bayaran mingguan.
“Sebaik sahaja mereka selesai membayar pinjaman, mereka boleh mengambil simpanan itu secara tunai ataupun baki hutang diselesaikan dengan wang simpanan,” katanya.
Menurutnya, pinjaman itu diberi secara sekali bayar sekiranya sesuatu permohonan itu berjaya dan tiada cagaran diperlukan.
“Proses tapisan akan dilakukan dengan temu duga dan lawatan tapak akan dilakukan sebelum menentukan sama ada permohonan itu layak ataupun tidak.
“Sebaik sahaja diluluskan, mereka akan mendapat jumlah pinjaman yang dipohon dan pengeluaran akan dilakukan oleh Bank Islam, pemantauan dan kursus akan diberikan kepada peminjam dari semasa ke semasa,” katanya.
Khalid berkata, permohonan boleh dibuat menerusi pejabat YWP di Kampung Baru, Kuala Lumpur dengan mengemukakan dokumen pengenalan diri dan perniagaan sedia ada.
“Sekiranya sambutan menggalakkan, kami akan mempertimbangkan untuk membuka lebih banyak permohonan dan menambah dana pinjaman,” katanya. - Bernama