Selasa, 28 April 2020

Rancangan Ramadan TV Alhijrah dengan tema Ramadan Menyuci Jiwa

Menjalani ibadah puasa sewaktu diduga dengan ujian wabak Covid-19 bukanlah alasan untuk umat Islam seantero dunia bermurung durja, lemah serta kalah kepada ujian yang diturunkan oleh Allah SWT.

Rancangan Ramadan TV Alhijrah

Umat Islam yang beriman kepada Rukun Islam dan Rukun Iman seharusnya menjadikan pelaksanaan ibadah puasa 1441H saat diserang virus sekecil zarah ini sebagai ruang untuk menambah ketakwaan, keimanan dan nilai integriti di dalam diri.

Oleh yang demikian, TV AlHijrah menyeru seluruh umat Islam terutamanya penonton setia stesen ini untuk menghayati dan menjalani ibadah puasa secara bijaksana dengan sudut pandangan berbeza namun penuh kebaikan mengikut acuan Islam.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Encik Namanzee Harris, “TV AlHijrah meraikan kedatangan Ramadan 1441H kali ini dengan mengangkat tema Ramadan Menyuci Hati sebagai kempen istimewa sepanjang sebulan berpuasa”.


12 RANCANGAN BARU RAMADAN MENYUCI TV ALHIJRAH
SIARAN TELEVISYEN
1. QURANTIME
2. TAZKIRAH JUMAAT
3. TAUSIYAH USTAZAH ASMA
4. TADARUS 30 JUZUK
5. IHYA RAMADAN
6. MUNAJAT
7. NGAJI ON THE GO: USTAZ & ARTIS LELAKI
8. NGAJI ON THE GO: USTAZAH & QARIAH
9. KEMBARA SUFI JEJAK BUMI ANBIYA
10. ASSALAMAUALAIKUM ISTIMEWA RAMADAN

SIARAN LIVE FACEBOOK
1. E-KAUNTER NETIZEN BERSAMA SYAMSUL DEBAT
2. NGAJI ON THE GO


“Tema ini membawa maksud yang jelas iaitu mengajak penonton membudayakan penghayatan ibadat berpuasa mengikut sunnah Baginda Rasulullah SAW seperti besederhana dalam setiap perbuatan, mengelakkan pembaziran, melipatgandakan ibadah dan banyak lagi.”

“Paling istimewa, menerusi tema ini, kita didik nurani dan melatih empati diri penonton untuk lebih peka kepada nasib golongan yang kurang berkemampuan terutamanya mereka yang sangat terkesan dari sudut ekonomi dan psikososial dek penangan pandemik global ini.” katanya.

“Kita mahu semua yang menonton TV AlHijrah pada Ramadan kali ini beroleh manfaat serta menanam semangat dan iltizam untuk mempertingkatkan amalan hingga ke hari terakhir Ramadan seterusnya mengekalkannya sepanjang kehidupan.”

“Ini adalah peluang terbaik untuk refleksi diri. Jangan jadikan keterbatasan berpuasa pada saat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai alasan untuk tidak mengejar markah penuh ibadah ini. Kita diciptakan sebagai sebaik-baik kejadian. Kita adalah umat Nabi Muhammad SAW. Kita harus menjadi juara.”

Perencanaan kempen Ramadan Menyuci Hati ini dilaksanakan di dwi platform iaitu di platform televisyen dan di platform digital.
12 rancangan baru sajikan secara segar buat penonton di rumah. Kesemua rancangan ini menyeimbangkan empat kompenen penting di dalam diri manusia iaitu qalb (hati), al-ruh (ruh), al-nafs (nafsu), al-aql (fikiran).

“Kita yakin, TV AlHijrah akan menjadi stesen pilihan utama rakyat Malaysia sepanjang Ramadan ini dek nadi penyiarannya yang mampu memberikan makanan jiwa buat penonton. Lihat sahaja, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, TV AlHijrah menjadi pilihan utama penonton untuk kandungan Islam dengan syer saluran 2 kali ganda di hadapan saluran-saluran Islamik yang lain. Malahan laman Facebook TVAH dilayari oleh 10.6 juta pengguna pada bulan ini iaitu 7 kali ganda melebihi jumlah pengikut sedia ada.”

“Tontonlah rancangan kami. Ia pasti mampu menenangkan, menghilangkan rasa gusar serta mendekatkan seluruh penonton stesen ini dengan Allah SWT.”

Dalam keterbatasan PKP, TV AlHijrah berjaya menyediakan sebanyak 92 jam program khusus untuk kandungan istimewa ramadan yang meliputi program kerohanian, bual bicara, majalah dan travelog.

Antara program-program tersebut adalah seperti rancangan QuranTime, Ihya’ Ramadan, Tazkirah Jumaat, Tausiyah Ustazah Asma, Munajat, Kembara Sufi Jejak Anbiya, Assalamualaikum Istimewa Ramadan, Ngaji On The Go: Ustaz & Artis Lelaki, Ngaji On The Go: Ustazah & Qariah, Tadarus 30 Juzuk, E-Kaunter Netizen Bersama Syamsul Debat.

Disamping program-program ramadan ini, TV AlHijrah juga sedang menyusun dan merangka strategi bagi kempen musim haji yang akan datang. Kerjasama dari pihak-pihak korporat yang berminat untuk menaja pada kempen musim haji hadapan amatlah dialu-alukan.
Jadi, jangan lupa untuk menjadikan TV AlHijrah sebagai ladang ilmu anda pada bulan ramadan ini. Banyak perkongsian bermanfaat untuk semua lapisan umur telah disediakan.

SENARAI RANCANGAN-RANCANGAN
RAMADAN MENYUCI HATI TV ALHIJRAH

1. QURANTIME
SETIAP HARI
12 TENGAHARI -1 PETANG

PENGACARA RANCANGAN: TUAN FAZRUL ISMAIL
#QURANTIME adalah rancangan terbitan TV AlHijrah dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dan Warisan Ummah Ikhlas.
Menggunakan tagline MengQurankan Bangsa, Mengikhlaskan Ummah, penonton seisi keluarga berpeluang untuk bertadarus bersama-sama tetamu jemputan pelbagai latarbelakang seperti para ilmuan agama, ahli akademik, huffaz dan ramai lagi.

Rancangan selama satu jam ini dihoskan oleh Tuan Fazrul Ismail, seorang pentadabbur Al-Quran yang tidak asing lagi di Malaysia. Beliau bersama semua tetamu jemputan akan mengalunkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dari Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah.
#QuranTime dilihat mampu dijadikan platform terbaik untuk menyatukan hati-hati penonton dalam membina tabiat baru dalam meningkatkan keimanan kepada Allah SWT.

2. TAZKIRAH JUMAAT
SETIAP JUMAAT
1 PETANG

TAZKIRAH JUMAAT adalah sebuah program kerohanian yang memberikan peringatan serta pengajaran buat penonton menerusi tajuk-tajuk tazkirah yang padat, tepat serta penuh bimbingan ilmu.
Istimewa sepanjang ramadan, pemilihan topik tazkirah akan berputar sekitar ibadah ramadan seperti Fadilat Ramadan, Peristiwa Pensyariatan Puasa, Hukum Hakam Puasa dan banyak lagi.
Rancangan ini menampilkan panel-panel berbeza setiap minggu seperti Ustaz Roslan Mohamed, Ustaz Zul Ramli M.Razali, Dato' Dr Hj Mohd Izhar Ariff Bin Mohd Kashim, saudara Syamsul Debat dan ramai lagi.

3. TAUSIYAH USTAZAH ASMA
SETIAP SELASA
7.30 MALAM
PENGACARA RANCANGAN: USTAZAH ASMA HARUN


TAUSIYAH USTAZAH ASMA merupakan sebuah rancangan selami rohani bersama Ustazah Asma, iaitu seorang personaliti dakwah yang kehadirannya semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.

Rancangan tazkirah ini akan menemui penonton sepanjang ramadan ini pada setiap hari Selasa jam 7.30 malam.

Tausiyah Ustazah Asma membawa penonton menyelami segenap ilmu yang mendekatkan para penonton kepada Pencipta yang Maha Esa. Sentuhan kasih sayang menerusi curahan tazkirah turut sama membimbing penonton memupuk dan mengekalkan rasa cinta terhadap Rasulullah SAW.

Pelbagai topik yang menarik dan berbeza akan dibincangkan setiap minggu. Antara tajuk-tajuk yang harus ditonton adalah seperti Engkau yang menciptakanku, Engkau yang membentukku, Engkau yang mencukupiku, dan Engkau yang memeliharaku.

4. TADARUS 30 JUZUK
SETIAP HARI
6.30 PAGI

TADARUS 30 JUZUK adalah Program bacaan Al-Quran pada setiap hari yang menyemarakkan ibadah puasa 1441H.

Selama 30 puluh hari, barisan Qari yang dipilih termasuk Ustaz Mohammad Zakiuddin Bin Hj Hanafi, Mohammad Zakiuddin Bin Hanafi, Ustaz Abdul Wafi Azzaki Bin Sinwan dan ramai lagi bagi menyempurnakan 30 juzuk Al-Quran secara berjemaah.

Rancangan ini dilihat adalah platform terbaik untuk para Qari membaca, menegur serta memperbaki kesalahan bacaan masing-masing. Penonton dirumah turut boleh membaca bersama-sama keluarga dari kediaman sendiri.

Apa yang penting, rancangan Tadarus 30 Juzuk membawa hasrat murni melahirkan generasi yang tidak hanya mahir dalam bacaan, bahkan mampu memahami makna serta berakhlak mulia seperti termaktub dalam al-Quran.

5. IHYA RAMADAN
SETIAP
6.30 PETANG

PENGACARA RANCANGAN : HABIB ALI ZAENAL ABIDIN AL-HAMID
IHYA RAMADAN merupakan rancangan bual bicara agama khas yang diterbitkan oleh TV AlHijrah sempena kehadiran bulan Ramadan yang mulia. Musim kesepuluh kali ini, Ihya Ramadan akan membincangkan persoalan hukum hakam Ibadah ramadan bersama pendakwah tidak asing lagi iaitu Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid.

6. MUNAJAT
SETIAP SABTU
9 MALAM

Munajat adalah sebuah rancangan yang diterbitkan atas sumbangan idea Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri bagi menyantuni rakan-rakan artis nasyid Malaysia.

Rancangan Munajat dengan kerjasama Nasyid.com dan Munsyeed Malaysia dilihat mampu menyumbang secara langsung di dalam kesihatan psikososial ummah.

Munajat akan bersiaran setiap Sabtu selama 60 minit sepanjang bulan ramadan. Antara rakan-rakan artis nasyid yang akan membuat persembahan adalah seperti Daqmie, Mestica, InTeam, Hijjaz, Rabbani, Pawana, Hufaz, Afad & Friends, Ustaz Dzoul Division, Al Farabi Band, Fine, Iintisor dan banyak lagi nama-nama besar yang akan mempersembahkan lagu-lagu berunsur dakwah, ketuhanan, kemanusiaan, dan kemasyarakatan.

7. NGAJI ON THE GO: USTAZ & ARTIS LELAKI
SETIAP SABTU-AHAD
6 PETANG


PENGACARA RANCANGAN: HANAN ABD RAHMAN

NGAJI ON THE GO: USTAZ & ARTIS LELAKI adalah sebuah rancangan yang menyantuni dan mendidik penonton setia stesen ini untuk mempelajari serta membaca Al-Quran dengan tartil serta talaqqi.

Rakan selebriti tanah air seperti Izzue Islam, Dato’ Aaron Aziz, Dato’ Fizz Fairuz, Ebby Saiful, Dato’ Shah Reza dan ramai lagi akan bersama-sama Ustaz Mohd Fahmi Asraf Bin Razali menghayati Al-Quran mengikut cara bacaan sebenar Baginda Rasullullah SAW.

8. KEMBARA SUFI JEJAK BUMI ANBIYA
SETIAP ISNIN-RABU
6 PETANG


KEMBARA SUFI JEJAK BUMI ANBIYA adalah sebuah dokumentari yang merintis dan merungkai kronologi peristiwa penting dalam sejarah kehidupan dan perjalanan dakwah nabi Musa AS di bumi Kan’an (Mesir).
Rancangan ini akan membawa penonton menjejaki sejarah Rasul, Ahli bait, sahabat, ulama dan kerajaan Islam, kerajaan Firaun kuno serta kerajaan yang terdapat dalam lipatan sejarah Mesir.

9. NGAJI ON THE GO: USTAZAH & QARIAH
SETIAP RABU
7.30 MALAM


PENGACARA RANCANGAN : FARAH DIANA ANUAR
NGAJI ON THE GO: USTAZAH & QARIAH adalah sebuah rancangan yang menyantuni dan mendidik penonton setia stesen ini untuk mempelajari serta membaca Al-Quran dengan tartil serta talaqqi.

Ustazah Nor Ruzana Natiah Jaafar akan bersama barisan qariah akan bersama-sama
Membaca dan menghayati Al-Quran bagi memperoleh iktibar dan pedoman buat buat semua.

10. ASSALAMUALAIKUM ISTIMEWA RAMADAN
SETIAP HARI
7.30 PAGI

RANCANGAN ASSALAMUALAIKUM adalah antara rancangan bual bicara santai terawal yang diterbitkan oleh TV AlHijrah.

Ramadan ini, Assalamualaikum akan tampil dengan perbincangan yang mengetengahkan tatacara sambutan Ramadan umat Islam seluruh dunia sewaktu pandemik Covid-19 bersama hos-hos yang tidak asing lagi seperti Farah Diana Anuar, Amie Sofia, Raja Sofie,Talib Hussin, Azidah Mohamed, Dewita Susila, Abdul Hanan, Ola Nordin dan Ardi Herman.


SIARAN LIVE FACEBOOK

1. NGAJI ON THE GO

SETIAP RABU & KHAMIS : 9 MALAM
SETIAP JUMAAT :2 PETANG

NGAJI ON THE GO adalah sebuah rancangan yang disiarkan khusus buat hampir dua juta pelayar internet di platform facebook TVAlhijrah. Ngaji On The Go disiarkan pada setiap hari, jam 9 malam hingga 9.30 malam

Rancangan ini dilihat sebagai usaha TV AlHijrah untuk menyantuni dan mendidik penonton setianya di platform online. Ia adalah pendekatan untuk mempelajari kitab suci Al-Quran merentasi jarak secara dua hala bersama ustaz dan ustazah pilihan.

Paling menarik, barisan ustaz dan ustazah akan ditemani rakan-rakan selebriti Malaysia seperti Siti Fazurina Mohd Famir, Ustazah Sharifah Khasif, Ustazah Noni, Ustaz Don, Ustazah Nazrah dan ramai lagi bagi memperdengarkan bacaan ayat suci Al-Quran sambil mempelajari ilmu-ilmu seputar Kalam Allah bermula dengan tajwid dan makhraj Al-Quran serta tadabbur kisah-kisah dalam Al-Quran.

2. E-KAUNTER NETIZEN BERSAMA SYAMSUL DEBAT

SETIAP HARI
6.30 PETANG


Kemunculan semula pendakwah Syamsul Debat sempena ramadan ini di platform Live Facebook TV AlHijrah ibarat sirih pulang ke gagang. Menuntut ilmu dalam gurau tawa yang tidak berlebihan pastinya memberikan seribu satu kelainan dan kemanisan buat semua.

Pelayar laman Facebook TV AlHijrah berpeluang untuk berkomunikasi secara dua hala bersama saudara Syamsul Debat setiap hari untuk bertanyakan soalan-soalan sekitar ibadah Puasa dan pelaksanaannya.