Jumaat, 29 Mei 2020

4 Filem Terbaik Disajikan TV Alhijrah Sempena Syawal 1441H

Menjadi kelaziman buat stesen TV AlHijrah untuk menjadi jaguh Ramadan semenjak
stesen ini ditubuhkan. Selaku jaguh, TV AlHijrah menggunapakai pelbagai strategi
dalam memastikan semua penonton mendapat ilmu bermanfaat menerusi sajian
rancangan-rancangan terbaiknya.

Filem terbaik TV Alhijrah

SYAWAL MENYATU HATI
1. FILEM GERAN
2. FILEM MALAIKAT KECIL
3. FILEM IQRO MY UNIVERSE
4. FILEM KALAM KALAM LANGIT

Namun begitu, tahun ini TV AlHijrah tampil berbeza apabila perjuangan Ramadan
diteruskan hingga Syawal dengan memperbanyakkan juga rancangan-rancangan
hiburan dakwah bersesuaian dengan tema sambutan Syawal Menyatu Hati.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Encik Namanzee Harris,
“Kebiasaannya, perjuangan TV AlHijrah setelah bertungkus lumus menyediakan
rancangan ilmiah Ramadan selesai saat bergemanya takbir Aidilfiti. Namun, pada
tahun ini, kita teruskan jihad penyiaran hingga tamatnya Syawal demi memastikan
penonton merayakan Aidilfitri bersama keluarga di rumah dengan hiburan berfalsafah
dan penuh mesej.” katanya.

“Sudah hampir lima tahun TV AlHijrah tidak menyajikan filem baru buat semua. Oleh
yang demikian kami bawakan kelainan sempena Syawal tahun ini dengan
menyiarkan empat filem baru tempatan dan antarabangsa. Ini adalah hadiah dan
tanda terima kasih buat penonton yang sentiasa menyokong usaha dakwah kami.”

Menurut Namanzee, jalan cerita dan falsafah yang tertanam di sebalik kesemua
empat filem ini iaitu filem tempatan tayangan perdana berjudul Geran dan tiga filem
Indonesia iaitu filem Malaikat Kecil, filem Iqro My Universe dan filem Kalam Kalam
Langit sudah semestinya bersifat mendidik, menghibur, menyatupadukan ummah
dan mempunyai nilai-nilai murni universal sebagai tauladan.

Antara program-program istimewa lain yang wajib ditonton adalah rancangan
Assalamualaikum, Malaysia QuranTime Istimewa Aidilfitri, Berita AlHijrah
Istimewa Aidilfitri dan E-Kaunter Netizen Syamsul Debat.

Jadi jangan lupa untuk terus setia bersama TV AlHijrah dan jadikan stesen gaya
hidup Islam ini sebagai saluran utama raya anda.

SINOPSIS FILEM

1. FILEM GERAN
29 MEI 2020
9 MALAM

PELAKON: NAMRON, FAIZAL HUSSEIN, AERIL ZAFRIL, KHOHARULLAH
MAJID,
FEIYNA TAJUDIN, FAD ANUAR, AZLAN KOMENG, TAIYUDDIN BAKAR,
FATIMAH
ABU BAKAR


Filem Geran berkisar sekitar kehidupan dua sahabat baik iaitu Pak Nayan dan Haji
Daud yang juga merupakan rakan seperguruan di dalam dunia persilatan. Namun,
hubungan akrab milik mereka berdua akhirnya goyah dek satu peristiwa yang tidak
disangka-sangka. Bermula detik tersebut, mereka saling bermusuhan dan
menyimpan dendam.

Pada masa yang sama, dua anak Pak Nayan iaitu Ali dan Fatimah berasa marah
dengan adik mereka iaitu Mat Arip kerana mengeruhkan lagi keadaan dengan
mencagarkan geran tanah pusaka milik bapa mereka kepada Haji Daud.

Sebagai bapa, Pak Nayan tetap yakin ada jalan penyelesaian untuk mengubah sikap
Mat Arip serta mendapatkan semula geran pusaka tersebut. Namun, konco-konco
Haji Daud mula bertindak lebih ganas dengan cuba mengugut serta mencederakan
mereka.

Saksikan kesudahan filem Geran untuk mengetahui apa yang terjadi kepada
keluarga Pak Nayan dan Haji Daud.

2. FILEM MALAIKAT KECIL
30 MEI 2020
9 MALAM

PELAKON: DWI SASONO, TIKA BRAVANI, RACHEL PATRICIA, DHELON F
ALBERS, COK SIMBARA, NELLA REGAR, DINA MARIANA, MUDJI MASSAID


Budi, seorang autism datang ke Jakarta untuk mengubah kehidupan keluarganya.
Sebagai seorang ayah yang amat mengasihi anak-anaknya iaitu Ratih dan Iyan, Budi
telah berjanji untuk membelikan baju baru kepada keduanya andai mereka mampu
berpuasa penuh di bulan Ramadan.

Budi sanggup berjauhan dengan isteri dan anak-anaknya demi mencari rezeki yang
halal. Pada suatu hari, Budi mendapat perkabaran bahawa anaknya sedang sakit dan
dirawat di hospital.

Budi mengambil keputusan untuk pulang menziarahi anak kesayangannya. Malang
menimpa apabila isteri dan anaknya sudah tidak lagi menetap di kediaman mereka.
Budi terus mencari keluarganya yang hilang.

Dalam kesedihan Budi hanya mampu pasrah dan menyerahkan segalanya
kepada Yang Maha Kuasa. Usai melaksanakan solat Aidilfitri, Budi dipeluk erat
dari belakang.

3. FILEM IQRO MY UNIVERSE
6 JUN 2020
9 MALAM

PELAKON: AISYAH NURRA DATAU, RAIHAN KHAN, COK SIMBARA, NENO
WARISMAN, ADITYA PUTRI


Aqila adalah seorang kanak-kanak yang sangat gemar menuntut ilmu tetapi tidak
berminat untuk belajar Al-Quran. Aqila mempunyai datuk yang bekerja sebagai ahli
astronomi dan tinggal di Pusat Pemantauan Bintang Boscha.

Aqila berhasrat untuk menjadikan seorang ahli astronomi dan menjadikan topik
tersebut sebagai salah satu tugasan di sekolah. Datuknya memberi izin kepada Aqila
untuk menggunakan teropong bintang di Boscha untuk menyelesaikan tugasnya,
tetapi dengan meletakkan syarat bahawa Aqila perlu pandai membaca Al-Quran.

Aqila bersetuju dan ketika di rumah datuknya Aqila bertemu Ros, anak seorang
pembantu rumah. Ros mengajaknya bermain di masjid. Di masjid ini Aqila belajar
membaca Al-Quran dengan kaedah Iqro, yang menyenangkan, berirama dan
dilakukan dengan ringan. Pengalaman Aqila mempelajari Al-Quran dan teladan
datuknya telah menggerakkan mata hatinya, mengenai kebesaran Allah SWT yang
menciptakan alam semesta.

4. FILEM KALAM KALAM LANGIT
13 JUN 2020
9 MALAM

PELAKON: DIMAS SETO, ELYZIA MULACHELA, MERIZA FEBRIANI, MATHIAS
MUCHUS


Kalam Kalam Langit adalah kisah seorang pemuda bernama Ja’far yang sedari kecil
mendapat didikan agama yang cukup baik dari kedua orang tuanya. Kebijaksanaan
Ja’far melayakkan dia untuk melanjutkan pegajian di sebuah sekolah pondok terbaik
di Indonesia.

Tempat pengajian Ja’far kerap mengadakan pertandingan Tilawah Al-Quran. Ja’far
bercita-cita untuk menjadi juara Majlis Tilawah Al-Quran tersebut. Namun,
keinginannya itu ditentang oleh ayahnya yang selalu mengingatkan agar tidak memperjual belikan kalam kalam Illahi hanya kerana populariti dan hadiah semata-mata.

Perbalahan dua beranak itu berterusan hingga ayah Ja’far jatuh sakit dan meninggal
dunia. Sedih dan membawa hati yang luka, Ja’far pulang ke kampung ibunya di
Lombok. Takdir menyaksikan Ja’far dipilih mewakili Lombok dalam pertandingan
Tilawah Al-Quran namun dia berterusan diuji.