Aktiviti sukan dan kokurikulum di luar bilik darjah
dibenarkan dengan garis panduan ketat termasuk mendapatkan kebenaran bertulis
daripada ibu bapa atau penjaga murid mulai 1 September ini.
Garis Panduan Pelaksanaan Aktiviti Sukan dan Kokurikulum di sekolah yang
diluluskan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) turut menetapkan penggunaan bilik mandi atau persalinan
dihadkan mengikut kapasiti.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata garis
panduan itu juga menetapkan Penjarakan fizikal satu hingga tiga meter bagi
aktiviti statik dan tiga hingga lima meter bagi aktiviti dinamik dan peralatan
perlu dibersihkan dan disanitasi.
Beliau berkata, garis panduan itu merangkumi pelaksanaan aktiviti sukan dan
kokurikulum secara bersemuka termasuk amali di luar bilik darjah bagi mata
pelajaran Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK) serta Sains Sukan
dalam keadaan yang terkawal.
Katanya, semua garis panduan itu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP)
Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Belia
dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pendidikan (KPM) yang sedia ada.
"Kerajaan memahami psikologi pelajar ketika ini di mana semua aktiviti dilakukan
di dalam kelas, jadi mereka dibenarkan melakukan aktiviti sukan di luar dengan
garis panduan yang ketat," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas
Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini, hari
ini. - BHarian