Tertuduh, Nezar Mohamed Sabur Batcha, 57, membuat pengakuan bersalah selepas
empat pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Hadi Hakimi
Harun.
Pemilik kedai Nasi Kandar Salleh di Napoh, dipenjara lima bulan dan denda
RM12,000 selepas mengaku bersalah tidak mematuhi perintah pengawasan dan
pemerhatian pada bulan lalu.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa meninggalkan premis
ditetapkan untuk menjalani pengawasan dan pemerhatian apabila berada di Bank
Rakyat Jitra pada jam 4.40 petang dan berada di Agro Bank Jitra pada jam 3.58
petang, 14 Julai 2020.
Bagi pertuduhan ketiga dan keempat pula, tertuduh didapati berada di Pusat
Khidmat Hasil Kubang Pasu, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada jam 3.35
petang dan berada di Public Bank Jitra pada jam 3 petang, tarikh sama.
Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1) Akta
Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang jika sabit kesalahan
boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya, Zabidah Ahmad, manakala
tertuduh tidak diwakili peguam dalam proses pertuduhan yang dilakukan di Wad I,
Hospital Alor Setar.
Mohd Hadi kemudian mendapati tertuduh bersalah atas semua pertuduhan dan didenda
RM3,000 dan penjara lima bulan bagi setiap kesalahan dilakukan dengan hukuman
penjara berjalan serentak.
Bagaimanapun, hukuman penjara tidak dapat berjalan lagi berikutan tertuduh masih
dalam proses pemantauan di Hospital Alor Setar.
Media sebelum ini, melaporkan pengusaha kedai Nasi Kandar Salleh di Napoh,
Jitra, ditahan polis pada 23 Julai lalu, kerana ingkar arahan kuarantin di rumah
selepas pulang dari India pada 13 Julai lalu.
Lelaki terbabit yang berstatus penduduk tetap dikesan orang ramai memakai gelang
merah jambu berada di kedainya ketika diwajibkan menjalani perintah kuarantin 14
hari.
Akibat dari perbuatannya itu, sekurang-kurangnya 45 individu didapati positif
COVID-19 membabitkan kes di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang di bawah Kluster
Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga. - BHarian