Wanita bersalin atas pokok mangga, 2 hari berpaut sehingga banjir surut. Seorang wanita yang rumahnya musnah akibat banjir dan taufan yang melanda Afrika Selatan bulan lalu melahirkan bayi perempuannya di atas sebatang pokok mangga.
Wanita berkenaan, Amelia yang juga ibu tunggal memanjat pokok itu bersama anak lelakinya yang berusia dua tahun kerana banjir semakin tinggi ketika taufan Idai menghampiri rumahnya di tengah Mozambique.
"Saya tak ada pilihan selain memanjat pokok, saya bersendirian dengan anak saya. Kemudian saya mula sakit dan tak ada orang sekeliling dapat bantu saya," katanya kepada wakil Unicef.
"Beberapa jam kemudian, saya melahirkan anak perempuan saya Sara di atas pokok mangga itu," katanya.
Keluarga kecil Amelia bertahan di atas pokok itu dengan berpaut pada dahan selama lebih dari dua hari sehingga banjir mula surut dan jiran-jiran dapat memberi bantuan kepada mereka.
Mereka sekarang tinggal di sebuah kemudahan penginapan di Dombe.
Taufan Idai melanda selatan Afrika pada Mac dengan membawa sejumlah besar air setinggi pokok di beberapa tempat, menghanyutkan kediaman yang meliputi kawasan pedalaman yang luas.
Lebih daripada 700 orang disahkan mati dan angka itu dijangka meningkat apabila komuniti terjejas bergelut dengan penyakit, termasuk kolera yang menyaksikan wabak itu telah menular di Mozambique. Lebih dari 50,000 rumah telah musnah.
Lebih 100,000 yang terselamat masih tinggal di kem-kem perpindahan dengan akses air bersih yang sedikit dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah memberi amaran tentang 'bencana kedua' jika penyakit-penyakit seperti kolera dan malaria merebak. - Fox News