Selasa, 29 Oktober 2019

Filem Anak Perjanjian Syaitan lakonan Nadzmi Adhwa dan Chacha Maembong

Filem seram Anak Perjanjian Syaitan ini akam mula menghantui pawagam pada 24 Oktober 2019. Merupakan terbitan Screen Studio Sdn Bhd, arahan pengarah Helmi Yusof dan skrip Subroto Katimin.

Filem Anak Perjanjian Syaitan

Para Pelakon

Nadzmi Adhwa, Chacha Maembong, Azlan Komeng, Sahronizam, Jasmin Hamid, Mohd Zabri Ibrahim, Roslan Sallen, Attika Suhaimai, Badrul Muhayat.



Sinopsis Filem Anak Perjanjian Syaitan

Mengisahkan tentang Cikgu Zaidy (Nadzmi Adhwa) dan isterinya, Azlinda (Chacha Maembong) yang sudah tujuh tahun berkahwin, tetapi tidak mempunyai cahayamata. Mereka berdua sentiasa ditekan oleh ibu Cikgu Zaidy iaitu Puan Rahmah (Jasmin Hamid) seorang janda kaya kematian suami yang terlalu ingin menimang cucu. Cikgu Zaidy selalu didesak supaya berkahwin lain dan Azlinda sentiasa dicemuh oleh ibu mertuanya itu.

Kemudian Cikgu Zaidy memohon untuk berpindah tempat kerja supaya memperoleh ketenangan dan ditempatkan di sebuah kampong di daerah kelahiran arwah bapanya. Mereka tinggal di rumah pusaka nenek Cikgu Zaidy. Rumah pusaka yang terpencil dan menyeramkan itu dijaga oleh tukang kebun, Pak Man (Shahrulnizam Noor) dan sudah tidak didiami selama lebih lima tahun.

Sejak berpindah ke rumah tersebut, Azlinda sering menerima gangguan berupa suara bayi dan kanak-kanak bermain yang sering menghantuinya sehingga dia histeria dan pengsan. Apabila dibawa ke klinik, Azlinda telah disahkan hamil oleh doktor.

Bagaimanapun, setelah disahkan hamil, Azlinda masih sering diganggu lagi, mimpi yang aneh dan perutnya yang tiba-tiba membesar secara luar biasa. Sehingga suatu hari semasa diganggu dia berlari keluar dan hampir dilanggar oleh jirannya yang ‘misteri’.