Dengan sekali lafaz, Emma Maembong, 27, sah bergelar isteri kepada juruterbang, Muhammad Shazli Azhar, 32, pada majlis tertutup di sebuah premis acara di Bukit Damansara, di sini, jam 11.58 pagi tadi.
Pasangan itu dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohammad Akmal Abdul Aziz berwalikan bapa pengantin perempuan, Ismail Embong.
Pada majlis berkonsep rona putih dihadiri 300 tetamu itu, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM2,000 dan senaskhah al-Quran, selain tujuh dulang hantaran berbalas lima dulang.
Selepas pelbagai spekulasi mengatakan yang pelakon ini bakal menamatkan zaman bujang, hari ini Emma Maembong sah bergelar isteri kepada juruterbang, Muhammad Shazli Azhar berusia pada majlis tertutup di Bukit Damansara.
“Alhamdulillah, impian, niat dan hajat yang saya simpan selama ini dipermudahkan. Tarikh nikah hari ini sangat cantik, jadi mengapa tidak kami abadikan sebagai detik bahagia saya dan suami.
“Biarpun semuanya berlaku dengan begitu pantas, saya percaya ada hikmah tersendiri hingga menyatukan kami sebagai pasangan suami isteri yang sah.
“Semoga permulaan fasa baharu ini akan terus mematangkan saya dan suami… Insya-Allah,” ujar Emma Maembong yang ditemui Berita Harian.
“Dia tak mahu membuang masa dalam hubungan ini. Saya juga mahu perkara sama. Semuanya bagai tersusun cantik. Dia lelaki yang mementingkan keluarga, agama dan matang.
“Selepas dua bulan mengenali diri masing-masing, kami sepakat menghalalkan hubungan ini. Pada 11 Oktober lalu, keluarganya datang merisik di rumah,” tambah Emma Maembong lagi. - BHarian