Ahad, 22 Mac 2020

Filem Classmate Hantu Kak Limah, Hantu Kak Roziah

Pengarah Mamat Khalid yang sering menghasilkan filem pecah panggung berkata, skrip Classmate Hantu Kak Limah, Hantu Kak Roziah sudah siap sepenuhnya dan dia sudah membayangkan dari awal lagi untuk memberikan watak itu kepada Ogy.

Mamat melahirkan hasrat untuk bekerjasama dengan pelakon terkenal Fauziah Ahmad Daud menerusi filem terbaharunya, Classmate Hantu Kak Limah, Hantu Kak Roziah.

Filem Classmate Hantu Kak Limah, Hantu Kak Roziah

Mamat berkata, usaha kini sedang dilakukan pihaknya untuk memujuk Fauziah atau Ogy agar bersetuju melakonkan watak Kak Roziah.

"Saya belum menghubungi Ogy lagi kerana takut dan amat hormat kepadanya. Saya nampak dia yang paling sesuai untuk watak ini.

"Tujuan saya ambil Ogy kerana nak meminjam aura dan kemantapan lakonannya. Dia memang bagus dan saya nak jadikan karakter ini bermutu dan bukan saja-saja wujudkan.


"Saya sudah sediakan wakil untuk merisik Ogy dan apabila dia senang barulah saya nak pergi berjumpa dia," katanya.

"Saya nampak watak itu adalah dia. Kalau dia tak terima barulah saya buka kepada orang lain, tapi keutamaan memang buat Ogy.

"Ceritanya, Kak Roziah adalah bidan kampung. Wataknya serius tapi watak di sekeliling kelakar kerana turut menampilkan Bell Ngasri dan ramai lagi.

"Berkenaan judulnya yang agak panjang, bukanlah menghairankan kerana sebelum ini saya pernah menghasilkan drama Rombongan Cik Kiah Ke Sukan Komanwel yang lagi panjang sebutannya," katanya.

Menurutnya, dia juga sedang dalam proses menyiapkan skrip filem berkaitan muzik Pop Yeh Yeh yang pernah menjadi fenomena pada era 1960-an.

"Tapi sebelum siapkan filem ini, saya akan buat penggambaran filem Classmate Hantu Kak Limah, Hantu Kak Roziah terlebih dahulu.

"Dalam pada itu, saya juga akan keluarkan filem terbaharu berjudul Manaf Karaoke lakonan Joey Daud, Mona Allen, Pekin, Ropie dan ramai lagi pada Ogos nanti.

"Filem ini sudah dua tahun disimpan dan ambil masa untuk disiapkan kerana diterbitkan oleh orang perseorangan. Banyak kerja yang perlu disiapkan," katanya.


Fauziah Ahmad Daud berbesar hati apabila pengarah terkenal, Mamat Khalid menyatakan hasrat bekerjasama dalam filem Classmate Hantu Kak Limah, Hantu Kak Roziah.

Mamat menerusi Harian Metro berkata, dia kini dalam usaha untuk merisik Fauziah atau mesra disapa Ogy agar bersetuju melakonkan watak Kak Roziah.

Ogy ketika dihubungi berkata, dia sangat menghormati Mamat dan terbuka berlakon di bawah arahan pengarah terbaik itu.

"Siapa tak nak kerjasama dengan Abang Mamat. Dia seorang pengarah tersohor dan amat menghormatinya.

"Jika tawaran datang, seperti biasa saya akan baca skrip dahulu. Orang kata, pucuk dicita ulam mendatang. Insya-Allah, jika ada jodoh takkan ke mana," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Ogy, dia tabik dengan kreativiti Mamat apabila membayangkan dirinya ketika menulis skrip bagi watak itu.

"Saya tahu setiap karyanya macam mana. Saya tidak dapat membayangkan tahap jenaka macam mana dalam skrip ini. Apa yang pasti mesti kelakar.

"Saya juga perlu tukar dan bawa diri ke tahap berbeza. Dari situ baru boleh tahu kemampuan kita macam mana.

"Sebelum ini dia tak pernah tawarkan saya berlakon. Mungkin kali ini dia mahu memberikan sesuatu menerusi watak ini selain ingin menghargai bakat saya. Sudah tentu dia juga tidak mahu persiakan watak itu begitu saja," katanya.

Difahamkan skrip Classmate Hantu Kak Limah, Hantu Kak Roziah sudah siap sepenuhnya.