Selasa, 11 Ogos 2020

Tahun Depan Sesi Persekolahan Bermula 20 Januari 2021

Tahun Depan Sesi Persekolahan Bermula 20 Januari 2021

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Jidin, berkata pihak kementerian menetapkan pembukaan persekolahan lebih lewat berdasarkan Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan Tahun 2021.

Pembukaan penggal pertama persekolahan 2021 bagi sekolah di seluruh negara ditetapkan pada Rabu, 20 Januari 2021.

"Ia bermakna cuti persekolahan bagi 2020 akan diteruskan sehingga sekolah dibuka pada 20 Januari 2021.



"Apabila kita mengumumkan cuti dipendekkan untuk 2020, kita merancang sesi persekolahan 2021 perlu dilewatkan," katanya pada sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja bagi Kementerian Pendidikan di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohd Radzi berkata, pindaan terhadap pembukaan penggal pertama persekolahan itu dilakukan susulan pandemik COVID-19.

Katanya, perancangan bukan tertumpu untuk tahun ini sahaja kerana kesan pandemik COVID-19 kepada sektor pendidikan tidak boleh diselesaikan dalam tempoh singkat.

"Seperti yang dimaklumkan pada 1 Julai lalu, KPM akan menyediakan Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan 2021 dengan mengambil kira pelbagai aspek yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Mohd Radzi berkata, pindaan takwim 2020 dengan memaksimumkan tempoh hari persekolahan dan mengurangkan cuti akhir tahun adalah selari dengan rancangan melewatkan permulaan persekolahan 2021 kerana Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula lewat.

Bagaimanapun, katanya, banyak proses tatacara diperlu dilalui dan dilaksanakan sebelum takwim 2021 boleh dikeluarkan.

"Apabila banyak keluhan KPM tidak mengambil kira keadaan guru, murid dan sebagainya, kita mengambil pendirian untuk menyiapkan proses tatacara itu supaya berjalan lancar dan sesi persekolahan tahun ini dapat ditamatkan dengan baik," katanya.

Beliau berkata, setiap perancangan KPM membabitkan COVID-19 memerlukan lebih setahun untuk kembali kepada normal.

"Cuti sekolah akan dinormalkan dan yang mana hilang kita akan mengatur sedikit sebanyak pada tahun akan datang, " katanya.

Katanya, antara perkara yang membimbangkan KPM ialah jika pelajar tidak dapat menguasai tahap minimum pembelajaran, sekali gus boleh menghilangkan motivasi mereka untuk terus belajar apabila memasuki sesi tahun depan. - BHarian