Berita yang dinanti akhirnya kunjung tiba buat 1.5 juta penjawat awam di seluruh negara apabila kerajaan hari ini mengumumkan agihan Bantuan Khas Kewangan RM450 bagi Gred 56 dan ke bawah sebagai persedian menyambut Aidilfitri.
Selain itu, bantuan khas sebanyak RM225 turut diberikan kepada hampir 800,000 pesara kerajaan di seluruh negara.
Berita baik itu diumumkan Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, bantuan khas akan dibayar pada 24 Mei ini.
“Kerajaan bersetuju memberi Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM450 kepada hampir 1.5 juta penjawat awam dari Gred 56 dan ke bawah sebagai persediaan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri 2019.
“Bantuan khas ini juga akan turut dinikmati oleh hampir 800,000 pesara kerajaan sebagai menghargai jasa perkhidmatan dengan jumlah bayaran sebanyak RM225,” katanya.
Katanya, bayaran Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan ini membabitkan anggaran peruntukan kewangan RM855 juta.
Berita sebelumnya
Mengikut pembentangan Belanjawan 2019 bagi tahun lepas, tidak pula diumumkan bonus raya tahun ini. Yang diumumkan cuma bonus RM500 yang telah dikreditkan penghujung tahun lepas.
Namun Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) katanya akan mengutuskan surat kepada PM dan Menteri Kewangan bagi memohon rayuan pemberian bonus raya sebanyak RM1,000 kepada 1.7 juta penjawat awam.
Bantuan Khas Aidilfitri Johor RM500
Pada November tahun lalu, Kerajaan Negeri bersetuju memberi bantuan khas kewangan sebanyak RM1,500 seperti yang diumumkan bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian ketika Pembentangan Belanjawan Johor 2019 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).Daripada jumlah itu, 16,511 penjawat awam Johor termasuk yang berkhidmat di pihak berkuasa tempatan (PBT) serta badan berkanun negeri masing-masing sudah menerima RM1,000 pada 2 Januari lalu.
Baki RM500 lagi adalah sebagai bantuan khas kewangan sempena Hari Raya Aidilfitri kepada penjawat awam Johor dan penjawat awam Persekutuan yang dibayar gaji oleh Kerajaan Johor.
Bonus Raya Perak Dibayar 16 Mei
Berita baik buat penjawat awam di negeri Perak. Bonus raya sebulan gaji atau minimum RM2,000 akan dibayar bermula 16 Mei melibatkan 13,390 kakitangan kerajaan di negeri tersebut.Daripada 13,390 penjawat awam di Perak, seramai 5,643 merupakan kakitangan di Jabatan Negeri; 1,705 di Pentadbiran Tanah dan Daerah; 4,683 di Pihak Berkuasa Tempatan dan 1,359 di Badan Berkanun Negeri.
Bantuan Khas Aidilfitri Pulau Pinang RM1,000
Manakala penjawat awam di Pulau Pinang bakal menikmati pemberian bantuan khas Aidilfitri setengah bulan gaji atau minimum RM1,000.Bantuan yang diberikan ini melibatkan peruntukan berjumlah RM5.27 juta sebagai pemberian BKK kepada 3,905 penjawat awam di negeri ini.
Bonus Raya Penjawat Awam 2019
Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan memberi bonus Aidilfitri kepada penjawat awam dan pesara.Presidennya, Datuk Azih Muda, berkata pihaknya sudah menghantar surat kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berhubung isu itu.
Katanya, CUEPACS berharap permintaan bonus Aidilfitri sebanyak RM1,000 untuk penjawat awam dan RM 500 untuk pesara itu dipersetujui kerajaan.
“Pada masa sama, saya juga sudah berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar, berhubung perkara berkenaan dan CUEPACS sendiri berharap kerajaan dapat mempertimbangkan permohonan intensif ini yang menjadi harapan besar bagi penjawat awam.
“Jika diluluskan, kita menjangkakan lebih RM1 billion bantuan khas berbentuk bonus Aidilfitri akan diberikan kepada penjawat awam seluruh negara.
“Malah, tahun ini kita memohon pemberian bonus kepada semua penjawat awam di bawah gred 54, berbanding sebelum ini hanya gred 41 ke bawah yang menerima bonus.
“Saya pasti jika apa yang diinginkan penjawat awam ini dizahirkan, ia akan menggembirakan dan membantu banyak pihak membuat persiapan Aidilfitri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Iftar Ramadan Presiden Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) bersama Presiden CUEPACS di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang di sini, malam ini.
Yang turut hadir, Pengarah Imigresen Kelantan, Azhar Abd Hamid dan Presiden KPISM, Norhisyam Murujan.
Sementara itu, Azih turut meminta kerajaan mengkaji semula kemudahan di pintu masuk ICQS terutama di Kelantan memandangkan ia menjadi antara laluan paling sibuk untuk keluar masuk antara dua negara.
Katanya, kemudahan pintu masuk sekarang ini tidak sesuai dan tidak mampu menampung kadar trafik selain peralatan lama yang boleh mengganggu komunikasi sesama anggota.
Info lain
“Kita akan suarakan kepada kerajaan dengan mengutus surat kepada PM (Perdana Menteri) dan Menteri Kewangan supaya dalam mengharungi kos sara hidup yang semua orang tahu beban dan kesannya terhadap kewangan penjawat awam yang berada di mana-mana jua.
“Bukan sahaja membabitkan penjawat awam di bandar, malahan di luar bandar, dan kalau tidak dibantu (melalui bantuan khas Aidilfitri) mungkin terdapat dalam kalangan penjawat awam tidak dapat berhari raya kerana tidak mampu nak membeli baju raya untuk anak-anak dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Hari Pekerja Sempena Sambutan Hari Pekerja CUEPACS di Stadium Indera Mulia, di sini, hari ini.
Perasmian disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A Sivanesan.
Tahun lalu, Kerajaan Pusat memberikan bayaran khas Aidilfitri sebanyak RM400 untuk penjawat awam gred 41 dan ke bawah, dan RM200 untuk pesara kerajaan.
Terdahulu, melalui kenyataan yang dikeluarkan sebelum menghadiri seminar berkenaan, Azih berkata, CUEPACS akan memberikan perlindungan takaful kemalangan CuepacsPA-Raya secara percuma kepada kira-kira 10,000 penjawat awam sempena sambutan Hari Pekerja 2019.
Beliau berkata, program takaful itu adalah kerjasama bersama MyCuepacsCare dan Zurich General Takaful Malaysia Bhd (Zurich) yang memberikan perlindungan sehingga RM220,000 sekiranya berlaku kemalangan bermula pada 20 Mei hingga 19 Jun depan semasa perayaan Aidilfitri.
Katanya, pemberian CuepacsPA-Raya percuma adalah selaras dengan hasrat CUEPACS bagi memastikan setiap penjawat awam memiliki sekurang-kurangnya satu perlindungan takaful.
“Penjawat awam yang hadir ke Sambutan Hari Pekerja CUEPACS pada hari ini dan 2 Mei di sini serta Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan di Putrajaya esok akan diberikan CuepacsPA-Raya percuma berikutan risiko berlakunya kemalangan ketika musim perayaan adalah tinggi berikutan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya,” katanya.
Azih berkata, antara manfaat ditawarkan melalui CuepacsPA-Raya adalah perlindungan untuk kemalangan sebagai penumpang pengangkutan awam atau kenderaan persendirian, pembunuhan, serangan, mogok, rusuhan dan kekacauan awam.
“Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan hadir melancarkan Program Takaful Kemalangan Diri CuepacsPA-Raya sempena Sambutan Hari Pekerja CUEPACS di Stadium Indera Mulia di sini pada 2 Mei ini,” katanya.