Selasa, 9 Julai 2019

Filem Coast Guard lakonan Saharul Ridzwan dan Emma Maembong

Akan datang filem Coast Guard diarahkan oleh Pitt Hanif dan Hashim Rejab, terbitan Arie Zaharie Production & Flying Ideal Sdn Bhd bersama Maritim Malaysia.

Filem Coast Guard lakonan Saharul Ridzwan dan Emma Maembong

Para Pelakon

Saharul Ridzwan, Emma Maembong, Julia Farhan, Fauzi Nawawi, Sabri Yunus, Aziz M.Osman, Black Hanifah, Hazama, Mustaqim Mohamed, Iman Zulkarnain, Wanna Ali, Laila Nasir, Akmal Ahmad, Hushairi Husain.


Sinopsis Filem Coast Guard

Filem Coast Guard mengisahkan Hafiz seorang anggota Maritim Malaysia yang ingin memulakan kehidupan baru di sebuah pulau kerana mengalami Gangguan Tekanan Pasca Trauma (PTSD) setelah kehilangan rakan setugasnya dalam sebuah misi menyelamat, tiga tahun lalu.

Konflik bermula di majlis pertunangan Hafiz & Nurul. Sekumpulan penjenayah telah menyerang mereka & menculik Hafiz, Nurul & Ibu Bapanya serta beberapa orang tetamu lain termasuk beberapa orang Maritim untuk dijadikan tebusan!

Dalam pada itu, Melati yg merupakan seorang anggota Maritim telah ditugaskan untuk menyelesaikan kes berkenaan sekali gus menumpaskan penjenayah terbabit. Gara2 berdendam Hafiz kemudiannya berganding bahu dengan Melati demi menyelamatkan Nurul & tebusan2 yg lain.

Berkat sabar, Saharul Ridzwan kini riang menuai hasil penantiannya hampir sembilan tahun. Apa tidaknya, dia yang dikenali sebagai pelakon drama bakal memulakan penggambaran filem pertama lakonannya berjudul Coast Guard.

“Sepanjang sembilan tahun mencanai bakat, saya sentiasa berdoa supaya diberikan peluang beraksi di layar perak dan syukur ia jadi kenyataan,” katanya.

Menurut pelakon berusia 30 tahun ini, filem aksi terbabit akan menjadi medium terbaik untuk menonjolkan sisi berbeza dirinya.

“Kalau sebelum ini orang kenal saya menerusi watak romantik dalam drama, saya mahu orang nampak kemampuan sebenar mengembangkan watak berbeza melalui Coast Guard.

“Harapnya, filem ini dapat bebaskan saya daripada kepompong watak romantik,” katanya.

Filem Coast Guard memaparkan kisah kehidupan pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) dan tentunya peminat akan membandingkan hasilnya dengan filem Paskal yang mempertaruhkan kisah anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TUDM).

Bagi Saharul, dia sendiri tidak menolak sekiranya itu berlaku dan mengakui merasai tekanannya.

“Sebagai pelakon pasti saya risau sekiranya hasilnya nanti tidak seperti diharapkan. Ramai sedia maklum kehebatan filem Paskal.

“Jadi, bila tak senang duduk, kita akan buat bersungguh-sungguh. Saya diamanahkan menjayakan watak Leftenan Hafiz dan mesti melakukannya sebaik mungkin.

“Saya meletakkan jangkaan yang tinggi terhadap filem ini. Apatah lagi ia akan jadi profil kerjaya seni saya,” katanya.

Berkawan rapat dengan bintang filem Paskal iaitu Hairul Azreen, Saharul berkata dia ada meminta nasihat dan pandangan daripada rakannya itu.

“Saya banyak kali berjumpa Hairul dan antara nasihatnya ialah supaya saya melakukan persiapan mental secukupnya. Menurutnya, fizikal perkara kedua.

“Untuk sesi latihan, mental perlu kuat dan nanti apabila badan kita bekerja dengan sangat kuat ketika sesi latihan, bentuk badan akan menjadi dengan sendirinya,” katanya.

Bercerita mengenai latihan, Saharul menjalani latihan bersama kumpulan Special Task and Rescue (Star Team) di bawah Maritim selama 12 hari.

“Saya menjalani latihan selama 12 hari bersama Star Team dan didedahkan cara penggunaan senjata dan sebagainya. Ini adalah kali pertama saya memegang senjata dan menembak.

“Jadi, banyak perkara saya belajar daripada mereka untuk pastikan mampu membawa nama agensi mereka dengan baik. Boleh dikatakan setiap perkara penting saya belajar daripada mereka,” katanya.

Ditanya harapannya untuk filem pertama lakonannya ini, Saharul meminta supaya penonton dan penggemar filem tempatan menghayati jalan cerita Coast Guard yang nyata berbeza daripada karya lain.

“Saya nak minta penonton dan penggemar filem Malaysia supaya tidak membandingkan filem ini dengan karya lain kerana Coast Guard ada jalan ceritanya yang tersendiri,” katanya.

Selain Saharul, filem yang diarahkan Hashim Rejab itu turut dibintangi Julia Farhana dan Emma Maembong. - HMetro